April 22, 2024

KUALA LUMPUR – Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) hari ini telah melancarkan edisi ke-23 Anugerah Industri Muzik (AIM), majlis anugerah paling berprestij dalam industri seni muzik tanahair di mana pembukaan tempoh pencalonan, syarat kelayakan dan kriteria untuk setiap kategori yang dipertandingkan juga telah diumumkan. Majlis pelancaran tersebut, yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur amat dinantikan setelah sekian lama AIM menyepi sejak 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM23, En. Rosmin Hashim mengumumkan bahawa RIM buat julung kalinya berkolaborasi bersama penyiar rasmi, Astro bagi penganjuran majlis anugerah AIM23 tahun ini. Rancangan anugerah utama akan disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Astro RIA dan ERA yang bakal diadakan pada hari Ahad, 11 September 2022 pada jam 9.00 malam (Karpet Merah pada 8.30 malam).

“Kami amat teruja untuk menganjurkan AIM yang ke-23 selepas sekian lama menyepi dan juga amat gembira melihat industri muzik tempatan menuju ke arah pemulihan selepas tempoh pandemik. Sudah agak lama pengamal industri muzik tempatan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya, terutamanya penghormatan yang diperolehi dengan memenangi anugerah AIM. Sejak 1993, AIM telah dikenali sebagai Anugerah Grammy Amerika yang setaraf di Malaysia, satu-satunya persembahan anugerah tempatan yang memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada pengamal industri muzik tempatan termasuk penyanyi, komposer, penulis lirik, penerbit dan jurutera bunyi, berdasarkan merit dan kualiti di samping membantu merangsang kreativiti dan kecemerlangan dalam penciptaan muzik yang boleh menembusi pasaran antarabangsa”, kata Rosmin Hashim, Pengerusi RIM dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM23.

“Terdapat perubahan besar dalam cara muzik digunakan dan didengari oleh orang awam. Untuk mencerminkan keluasan muzik yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia, kami telah menambah anugerah ‘Lagu Cina Tempatan Terbaik’ dan ‘Lagu India Tempatan Terbaik’ dalam kategori anugerah utama. Kami juga telah mengembalikan semula kategori ‘Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan oleh Artis Asing’, manakala kategori ‘Lagu Paling Banyak Dimuat Turun’ telah digugurkan memandangkan penggunaan muzik pilihan orang ramai adalah melalui penstriman”, tambah Rosmin.

Rosmin Hashim selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM23

Beliau kemudiannya mengumumkan perkara berikut berkenaan dengan tempoh pencalonan, kriteria kelayakan, kategori anugerah dan kaedah penghakiman: 

Kriteria kelayakan dan tempoh pencalonan 

Pencalonan untuk anugerah AIM 23 tahun ini dibuka untuk Lagu/Album dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang telah dikeluarkan di Malaysia dari 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022. Tempoh pencalonan dibuka pada hari Rabu, 27 Julai 2022 dan akan berakhir pada hari Jumaat, 5 Ogos 2022 jam 5.00 petang. Borang pencalonan boleh diisi dan diserahkan di https://aim.org.my/online-submission-2/.

Kategori-kategori anugerah

Senarai penuh 26 kategori anugerah yang dipertandingkan tahun ini ialah seperti berikut:

Kategori Anugerah Utama

  1. Artis Baru Terbaik
  2. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) 
  3. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita)
  4. Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan)
  5. Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu
  6. Video Muzik Terbaik
  7. Runut Bunyi (Ost) Terbaik Di Dalam Filem/Drama
  8. Lagu Rock Terbaik
  9. Lagu Pop Terbaik
  10. Lagu R&B/Hip Hop Terbaik
  11. Lagu Pop Elektronik/Dance Tebaik
  12. Lagu Inggeris Tempatan Terbaik
  13. Lagu Cina Tempatan Terbaik
  14. Lagu India Tempatan Terbaik
  15. Lagu Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara
  16. Lagu Nasyid Terbaik 
  17. Lagu Pop Etnik Terbaik
  18. Album Terbaik
  19. Lagu Terbaik

Anugerah Khas

  1. Anugerah Sri Wirama

Kategori Pra-Anugerah

  1. Kulit Single/Album Terbaik
  2. Rakaman Album Terbaik
  3. Rakaman Lagu Terbaik
  4. Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu
  5. Lagu Paling Tinggi Di Strim
  6. Lagu Nada Dering Jualan Paling Tinggi

Penghakiman anugerah

Seperti amalan bagi anugerah AIM, penghakiman untuk pencalonan yang diterima akan dikendalikan oleh panel hakim terpilih yang terdiri daripada pengamal yang dihormati dan pakar terkemuka daripada pelbagai disiplin dalam industri muzik tempatan, diketuai oleh Ketua Hakim yang dilantik oleh Jawatankuasa Penganjur AIM. Markah yang diberikan oleh hakim-hakim ini akan dijadualkan dan diaudit oleh juruaudit bebas sebelum keputusan dikeluarkan dan diumumkan. Penerima anugerah pencapaian seumur hidup ‘Sri Wirama’ akan ditentukan oleh Ahli Majlis RIM. Keputusan 5 Calon Akhir AIM23 dijangka diumumkan dalam bulan Ogos 2022.

“Kami berasa teruja untuk menjadi sebahagian daripada AIM23 bagi mengiktiraf bakat-bakat luar biasa yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam industri muzik. Sebagai penyiar rasmi, ia merupakan sesuatu keistimewaan bagi kami untuk mempamerkan pengkarya-pengkarya yang telah memberi impak berkekalan terhadap industri sepanjang tahun lalu. 

Astro amat kagum untuk melihat industri muzik terus berkembang hingga ke hari ini walaupun telah menghadapi pelbagai kekangan sejak dua tahun lalu.

Sebagai sebuah syarikat penyiaran terkemuka Malaysia, kami akan terus menyokong usaha-usaha yang memartabatkan industri muzik tempatan kerana AIM telah menjadi penanda aras dalam mengiktiraf bakat-bakat dalam bidang muzik untuk bertahun lamanya, termasuk penggerak dan pengolah industri, serta bintang-bintang yang sedang meningkat naik”, kata Norzeha Mohd Salleh, Ketua Saluran Astro Ria, Prima dan Warna. 

“Kami berharap para peminat dan penyokong akan bersama-sama menantikan penganjuran semula AIM dengan memberikan sokongan kepada artis kegemaran mereka di Astro menerusi saluran Astro Ria (104) dan ERA. Pelanggan Astro turut boleh strim AIM23 menerusi On Demand dan aplikasi Astro GO.

Nantikan Anugerah Industri Muzik (AIM23) dengan persembahan-persembahan yang luar biasa daripada barisan pemuzik dan penghibur yang menakjubkan. Yang pasti, ia akan menjadi memori yang tidak akan dilupakan”, tambah Norzeha.

Untuk maklumat selanjutnya, sila lawati www.aim.org.my