APA KHABAR ANAK SENI? KEMPEN AMBIL PEDULI SESAMA RAKAN TERJEJAS PKP

KUALA LUMPUR, 13 JULAI 2021 – Industri kreatif antara industri yang hampir lumpuh sepenuhnya disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai karyawan dan anak seni negara yang berkecimpung dalam industri kreatif (IK) menzahirkan luahan rasa hati menerusi kempen yang dinamakan, ‘Apa Khabar Anak Seni’.

kempen yang bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim dan bertanya khabar kepada pekerja IK terutamanya sewaktu dalam era pandemik ini. Kempen ini utamanya ingin mengambil maklum tentang keadaan mental, emosi, kewangan, juga kehidupan semasa pekerja IK dan bagaimana mereka menggunakan kemahiran seni kreatif masing-masing sewaktu pandemik ini atas sebab penutupan industri sekarang ini.

Daiyan Trisha, penyanyi dan pelakon, berkata, “jadi di masa industri kreatif perlu diberhentikan atau ditutup sementara sewaktu lockdown dan pandemik ini, rata- rata kita juga tak dapat bekerja. Tiada show, tiada shoot, tiada produksi. Perkongsian ini bertujuan untuk tanya khabar, kalian buat apa semasa lockdown ini? Jom kongsi.”

Sebagai anak seni, dia kini menggunakan kreativiti membuat konten di rumah dan sibuk menulis lagu.

“Sejujurnya tersangat rindu untuk beraksi dan buat penggambaran. Melantunkan tenaga kreatif sesama anak seni. Kita doakan supaya satu hari kita boleh kembali berkarya,” katanya lagi.

Kempen ini juga adalah merupakan satu tanggungjawab sosial sesama pekerja IK dalam terus menghidupkan industri melalui pendekatan di media sosial. Ia juga bertujuan membantu usaha pekerja IK yang sedang menggunakan alternatif lain dalam memberikan servis seni kreatif mereka.

Dengan penggunaan tanda pagar #ApaKhabarAnakSeni, diharap akan lebih ramai pekerja IK dapat berhubung sesama kita di samping menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat awamnya tentang nasib anak-anak seni di kala pandemik, sekaligus menjadi platform komunikasi dua hala antara pekerja IK dan pihak-pihak lain secara langsung atau tidak langsung.

“Saya percaya sebagai seorang anak seni, tugas kita lebih dari hiburan sahaja. Kita mencipta kisah sekarang, jadi mungkin suatu hari di masa hadapan, generasi akan datang boleh belajar darinya. Mudah-mudahan,” ujar Sharifah Amani.

Ia menjadi tanggungjawab bersama bagi pekerja IK dalam memainkan peranan untuk menjaga kesejahteraan sesama kita, dan kempen ini menjadi satu ruang yang harmoni untuk pekerja IK terus menghasilkan produk kesenian sewaktu pandemik. Kempen ini adalah satu inisiatif Delegasi Anak Seni (DAS).