KUALA LUMPUR : Bukan mudah perjalanan yang sudah dilalui oleh penyanyi yang satu ini. Di sebalik populariti yang dikecapi di media sosial, Apex Tajudin sebenarnya menyimpan seribu satu kisah yang tidak diketahui umum.
Dia yang dicungkil bakat melalui program Mentor Millenia 2019, mengakui fasa yang dilaluinya selepas diangkat sebagai juara program berkenaan begitu mencabar.
“Sebaik sahaja memenangi pertandingan tersebut saya pernah keluar dengan lagu Panggung. Hanya sempat melakukan beberapa promosi, negara berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula.
“Sudahnya semua yang dirancang ketika itu tergendala dan saya terpaksa membuat pelbagai usaha untuk mempromosikan sendiri. Sebab itu saya banyak gunakan media sosial untuk mengembangkan kerjaya sendiri,” katanya.
Tambah penyanyi yang berusia 26 tahun ini lagi, meskipun berhadapan dengan kesukaran untuk mempromosikan lagu ketika itu, dia optimis rezekinya tidak semudah penyanyi lain yang muncul sebelum itu.
Mendepani pelbagai cabaran ketika itu, Apex terpaksa menghadkan aktiviti seni dan membuat pelbagai kerja lain untuk menampung kehidupan seharian.
“Saya pernah berniaga nasi lemak dan menjual baju bundle. Memang waktu itu amat sukar memandangkan saya baru sahaja keluar dari program Mentor Millenia.
“Tapi rezeki itu tetap ada dan kita perlu berusaha. Setiap hari saya akan gunakan platform media sosial seperti TikTok untuk terus mempromosikan diri dan perniagaan. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan,” tambahnya.
Mempunyai lebih 350,000 pengikut di TikTok, Apex mengakui yang dia sering kali memuat naik video nyanyian dan pelbagai ‘content’ lain di situ.
Selain menjadi medan untuk berinteraksi dengan peminat, ia juga membuka jalan kepadanya untuk mempromosikan karya sendiri selain mencari peluang untuk mencari rezeki dalam bidang nyanyian.
Tambahan pula dia baharu sahaja keluar dengan lagu Jannah, Apex bersyukur kerana dia mendapat maklumbalas yang baik daripada peminat yang suka dengan karya berkenaan.
Lagu ciptaan Ajai dan lirik hasil nukilan Strawbericha itu telah pun dilancarkan secara rasmi pada 30 September lalu di semua platform digital.
“Lagu ini merupakan lagu ketiga saya selepas Panggung dan Pergi Jauh. Dua lagu sebelum ini dikeluarkan ketika negara berhadapan dengan pandemik dan berdepan dengan pelbagai kekangan.
“Sudah pasti saya mengharapkan Jannah akan membawa nama Apex Tajudin ke satu peringkat yang lebih tinggi atau setidaknya lebih dikenali oleh peminat baharu,” katanya yang kini menetap di Kedah.
Bercerita mengenai kerjasama dengan Ajai pula, dia gembira kerana dapat menyanyikan sebuah karya daripada komposer prolifik yang sudah berjaya membawa banyak nama besar menempa kejayaan.
Lagu yang disifatkan cukup ‘manis’ itu juga sesuai dijadikan lagu untuk tema perkahwinan dan pastinya dia berharap Jannah turut membawa tuah kepadanya.
“Tiada apa yang saya harapkan selain mahu Jannah diterima baik oleh peminat. Terima kasih buat semua yang sentiasa menyokong kerjaya saya sejak awal lagi,” tambahnya.
Video muzik (MV) Jannah sudah pun dilancarkan secara rasmi pada 30 September lalu di YouTube saluran Indigital Music.
Sebagai rekod, Jannah merupakan terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan edaran Indigital Music.