KUALA LUMPUR : Seharum namanya, Bunga Citra Lestari, penyanyi cantik asal Indonesia ini akan menebarkan ‘wangi’ karyanya menerusi sebuah konsert yang sangat dinantikan peminat di Malaysia.
‘BCL Blossom Intimate Concert’, begitu nama konsert perdana pelantun lagu Wanita Terbahagia itu setelah melalui banyak fasa dalam hidupnya beberapa tahun kebelakangan ini.
Ini juga akan menjadi konsert sulung Bunga atau mesra disapa BCL selepas pandemik COVID 19 melanda dunia.
‘BCL Blossom Intimate Concert’ yang dibawakan oleh Icon Entertainment akan berlangsung pada 27 Januari 2023 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula pukul 8.30 malam.
Teruja kerana akan kembali menyapa peminat di Malaysia secara berdepan, BCL senang menggelarkan konsert ini sebagai hadiah dan apresiasi buat semua yang mendokong karier dan kehidupan peribadinya, terutama selepas suami tercinta, aktor Ashraf Daniel Mohamad Sinclair kembali ke Rahmatullah pada Februari 2020.

“Saya sangat berbesar hati untuk bertemu semula dengan peminat di Malaysia, apa lagi sudah cukup lama saya nantikan momen untuk melakukan konsert di negara yang sudah menjadi rumah kedua buat saya.
“BCL Blossom Intimate Concert ini juga sebagai lambang apresiasi buat seluruh peminat yang sudah banyak memberi sokongan kepada saya.
“Selalu DM dan memberi komen di sosial media memberi kata-kata semangat terutama sewaktu Ashraf meninggal dunia. Saya tidak dapat membalas semua mesej tetapi sangat menghargainya,” ujar BCL.
Mengenai pemilihan Blossom sebagai tema konsertnya, kata BCL, ia memberi signifikan kepada kerjaya dan kehidupan pada masa sekarang dan akan datang.
“Blossom memberi maksud supaya saya bangkit terus dalam berkarya dan tegar menjadi anak seni,” kata ibu kepada seorang anak lelaki ini lagi.
Sementara itu, pihak penganjur melahirkan kesyukuran kerana perancangan membawa BCL melakukan konsert di Malaysia akhirnya dapat dilaksanakan pada 27 Januari depan.

“Kita semua sedia maklum selepas pemergian Allahyarham Ashraf, BCL berehat sebagai fasa untuk menguruskan kehidupan peribadinya.
“Kami di Icon Entertainment sentiasa mengekori rapat mengenai momen yang tepat untuk melamar sekaligus mendapatkan persetujuan beliau untuk melakukan konsert ini.
“Alhamdulillah selepas beberapa siri perbincangan dengan jadual beliau yang padat, BCL sendiri tidak mahu melepaskan peluang beraksi di ‘rumah keduanya’,” ujar Iman Tang selaku wakil penganjur.
BCL memulakan kerjayanya pada 2002 dan terkenal dengan genre pop.
Antara untaian lagu yang membuat namanya meledak di Malaysia adalah Ingkar, Lagu Cinta Pertama (Sunny) dan album terakhir yang dikeluarkan pada 2017 iaitu It’s Me BCL.
Penyanyi dan pelakon berusia 39 tahun ini juga terkenal dengan lagu duet bersama Ari Lasso, Aku Dan Dirimu serta terkini, Menghapus Jejakmu duet bersama Ariel Noah.
Buat semua penggemar BCL, tandakan kalender anda pada 27 Januari 2023 untuk tidak terlepas menyaksikan Konsert Blossom – Bunga Citra Lestari di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Harga-harga tiket mengikut kategori yang telah ditetapkan. Bagi kategori 12 Tahun Terindah tiket berharga RM1188 (Early bird) dan RM1238 (Harga normal). Kategori Menghapus Jejakmu tiket berharga RM988 (Early bird) dan RM1038 (Harga normal). Kategori Cinta Sejati tiket berharga RM788 (Early bird) dan RM838 (Harga normal). Kategori Aku & Dirimu tiket berharga RM588 (Early bird) dan RM638 (Harga normal). Kategori Wanita Terbahagia tiket berharga RM258 (Early bird) dan RM308 (Harga normal). Terakhir untuk Kategori Ingkar tiket dijual dengan harga RM218 (Early bird) dan RM268 (Harga normal).
Tiket BCL ‘Blossom Intimate Concert’ boleh dibeli secara dalam talian di www.ticket2u.com.my.

