KUALA LUMPUR, 15 Mac 2025 – Penyanyi dan komposer Apwriter tampil dengan lagu baharu berjudul Genggam, hasil kolaborasi bersama penyanyi Afif Tarmizie. Lagu ini menggabungkan elemen hip hop, rap, dan pop dengan sentuhan instrumen klasik Melayu, mencipta kelainan dalam industri muzik tempatan.
Genggam telah dipilih sebagai lagu tema bagi drama Langit Ke Tujuh yang ditayangkan di platform penstriman Tonton sejak 27 Januari lalu. Apwriter bertindak sebagai komposer dan penulis lirik, manakala susunan muzik disempurnakan oleh Noktah. Lagu ini membawa mesej mendalam mengenai keteguhan prinsip hidup serta keyakinan diri dalam menghadapi cabaran.
“Saya percaya Genggam mempunyai potensi besar untuk mendapat perhatian pendengar. Cadangan pihak Alternate Records untuk berduet dengan Afif ternyata tepat, kerana vokalnya sesuai dengan konsep lagu ini. Penggunaan bahasa Melayu baku dan instrumen klasik memberikan keunikan yang menarik kepada pendengar tempatan,” kata Apwriter.

Afif Tarmizie pula mengakui tertarik dengan konsep lagu tersebut sejak pertama kali mendengar demo. “Elemen hip hop dalam Genggam mengingatkan saya kepada kumpulan Nukilan yang banyak mempengaruhi perjalanan muzik saya. Proses rakaman juga berjalan lancar, hanya mengambil masa dua jam berkat kerjasama baik dengan Apwriter,” katanya.
Lagu Genggam kini boleh didengarkan melalui platform penstriman digital seperti Spotify, iTunes, dan YouTube Music.