KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon terkenal, Aqasha, mengakui tahun 2024 menjadi titik kebangkitan baru dalam kerjayanya. Selepas beberapa tahun lebih menumpukan perhatian kepada keluarga, kini beliau kembali aktif dalam dunia seni, terutama dalam bidang nyanyian.
“Semenjak pertengahan tahun 2024, saya kembali memenuhi undangan majlis dan persembahan. Beberapa video saya yang tular baru-baru ini juga mengembalikan perhatian ramai terhadap saya dalam dunia nyanyian. Alhamdulillah, ini menjadi satu pemangkin semangat untuk saya terus aktif,” katanya.
Aqasha, yang pernah menjadi bintang popular era 2000-an, menyatakan bahawa meskipun kelihatan menyepi, cintanya kepada muzik tidak pernah pudar.
“Muzik adalah cinta pertama saya. Cuma dengan usia yang semakin meningkat, saya banyak menumpukan kepada keluarga dan anak-anak. Kini, saya rasa sudah tiba masanya untuk kembali aktif, terutama dengan sambutan positif daripada peminat,” tambahnya.
Aqasha kini terlibat dalam projek istimewa ‘Malam Laguan Puisi’, sebuah inisiatif yang memberi nafas segar kepada puisi-puisi agung melalui susunan muzik yang memikat. Bagi Aqasha, projek ini bukan sekadar peluang berkarya, tetapi satu tanggungjawab sebagai anak seni untuk memelihara dan melestarikan khazanah sastera tanah air.
Antara puisi tokoh sasterawan negara yang bakal diangkat termasuk karya-karya indah Datuk Seri A. Samad Said, Dato’ Usman Awang, Datuk Dr. Zurinah Hassan, Dato’ Baha Zain, Dato’ Rahman Shaari, dan Prof. Emeritus Muhamad Hj. Salleh.
“Puisi-puisi ini adalah warisan negara. Kalau kita sebagai anak seni tidak mengangkatnya, siapa lagi? Saya ingin memastikan karya-karya ini kekal dihargai oleh generasi akan datang,” ujarnya penuh komitmen.
Selain itu, Aqasha kini bergerak secara bebas tanpa naungan label muzik atau pengurusan. Walaupun cabaran lebih besar, beliau percaya perjalanan kerjayanya perlu bersifat organik.
“Saya sedar industri muzik kini sangat berbeza berbanding 20 tahun lalu, terutama dengan kehadiran media sosial. Namun, saya yakin dengan usaha yang berterusan, saya mampu mencari tempat semula,” katanya.
Dalam dunia lakonan pula, Aqasha kini lebih selektif. Drama Nafsu di platform Viu menjadi salah satu projek terbaharunya, di mana beliau membawa watak super villain yang jarang dilihat dalam industri tempatan.
“Watak seperti ini memang menjadi kegemaran saya. Ia memberi cabaran baru dan sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Aqasha turut menyatakan bahawa faktor usia dan pengalaman kini membentuk pilihannya dalam memilih skrip dan watak. “Saya lebih tertarik kepada naskhah yang memberi impak dan punya elemen kemasyarakatan. Bayaran juga memainkan peranan, tetapi saya cuba seimbangkan dengan kepuasan terhadap watak itu sendiri,” tambahnya.
Dengan semangat baru, Aqasha optimis untuk terus relevan dalam industri seni tanah air, sama ada dalam nyanyian mahupun lakonan. “Saya harap usaha saya ini dapat memberi inspirasi kepada generasi baru dan memastikan seni tanah air terus berkembang,” katanya mengakhiri perbualan.
Terdahulu, Aqasha bakal tampil dalam acara istimewa Malam Laguan Puisi: Bunyian Irama dan Prosa pada 8 Februari 2025, bertempat di Panggung Eksperimen ASWARA.
Persembahan yang unik ini turut menampilkan penyanyi-penyanyi hebat seperti Azizul Hakim, Ayu Damit, dan Leaisme, yang akan melagukan 10 puisi agung karya tokoh-tokoh sasterawan negara dalam susunan muzik yang segar.
‘Malam Laguan Puisi’ bukan sekadar persembahan, tetapi satu penghormatan kepada warisan sastera negara, menjadikannya lebih dekat dengan generasi kini dan akan datang.