May 22, 2024
aqeesh aleeya lelah

Bakat penyanyi muda ini tidak boleh dipandang sepi. Aqeesh Aleeya, 20 atau nama sebenarnya Nur Balqis Aleeya Shahrom mula membabitkan diri dalam industri hiburan tanahair sejak berusia 9 tahun lagi ketika menyertai pertandingan ‘Bintang Kecil 2013’ dan selepas itu, pertandingan ‘Bintang Kecil 2014’ di mana dia dinobatkan sebagai naib juara.

Pada tahun 2017, Aqeesh menjuarai pertandingan bakat dalam talian ‘Bakat Ohsem Malaysia’ (BOM) 2017 anjuran hurr.tv ketika berusia 13 tahun. Sejurus selepas kemenangan itu, Aqeesh mengeluarkan single sulung berjudul “Aku Malu” ciptaan komposer ternama, DJ Fuzz dan Hez Hazmi.

Pada tahun 2022, Aqeesh tampil dengan single ke-2 berjudul, “Kau Ada”, sebuah lagu duet bersama Momo, salah seorang anggota kumpulan Unknown yang popular dengan lagu “Jangan Marah (Baby Sayang)”.

Terpaling Juara

Kemunculannya dalam program realiti nyanyian ‘Terpaling Juara’ yang disiarkan di TV3 pada 2022 mencuri perhatian ramai. Di bawah bimbingan artis dan komposer muda berbakat, Akim Ahmad, Aqeesh berjaya mara hingga minggu ke-6 program realiti tersebut.

Bakat istimewa dan kualiti vokal yang dimiliki Aqeesh mendorong Nova Music untuk mengambil Aqeesh sebagai artis rakaman di bawah naungan syarikat rakaman tersebut. Single ke-3 Aqeesh dan yang pertama di bawah Nova Music berjudul “Retak” diterima baik pencinta muzik tanahair dan berjaya menembusi Top 30 carta ‘era 40’ dan ‘Suria Top 40’. Lagu tersebut turut menjadi lagu tema utama drama bersiri popular, ‘Rindu Kasih’.

Single ke-4

Terbaharu, Aqeesh muncul dengan single ke-4 berjudul “Lelah” hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer ternama, Sharon Paul dan Mim Hamzah.

Menurutnya, lagu “Lelah” adalah single bergenre balada dengan gabungan muzik moden dan klasikal.

“Lagu ini mengisahkan tentang perasaan seseorang perempuan yang sudah penat ataupun lelah dengan hubungan bersama pasangannya yang selalu menyakitinya dan menghancurkan hubungan ini.

“Bagi saya, semua single yang pernah dihasilkan mempunyai kelebihan tersendiri dan untuk lagu Lelah ini kelainannya adalah ia diselitkan sikit gabungan muzik moden dan klasikal,” katanya.

Kerjasama dengan komposer terkenal

Berkongsi lanjut mengenai lagu “Lelah”, Aqeesh mengakui bekerjasama dengan komposer Sharon Paul adalah pengalaman yang cukup berharga.

“Antara pengalaman berharga merakamkan single ini adalah saya dapat bekerjasama dengan komposer terkenal Sharon Paul yang banyak memberikan ilmu baharu ketika merakamkan lagu ini. 

“Ini kali kedua saya bekerjasama dengan Sharon. Dia sangat baik dan senang bekerjasama dengannya. 

“Cabarannya ialah sehari sebelum rakaman lagu ini saya mengalami demam dan selesema. Selain itu, saya perlu bergegas selepas kuliah dari kampus di Negeri Sembilan ke studio rakaman di KL,” katanya.

Lagu tema drama rantaian Rindu Kasih 2

Menariknya, lagu “Lelah” turut tersenarai antara lagu tema drama rantaian ‘Rindu Kasih 2’ yang kini bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis jam 10 malam dalam slot Samarinda di TV3. Drama bersiri 20-episod ini yang merupakan kesinambungan drama rantaian ‘Rindu Kasih’ menampilkan bintang-bintang utama, Ummi Nazeera, Izzue Islam dan Fazlina Ahmad Daud. Pelbagai video berkaitan episod 10 drama ‘Rindu Kasih 2’ telah mencatat sejumlah 8.6 juta tontonan di TikTok!

“Harapan saya untuk lagu Lelah adalah semoga lagu ini dapat diterima oleh semua orang dengan hati terbuka dan dapat faham perasaan yang saya cuba sampaikan melalui lagu ini. Selain itu, saya berharap pendengar dapat juga mengaitkan perasaan dan emosi mereka menerusi lagu ini,” katanya mengakhiri bicara.

Video muzik rasmi

Single “Lelah” nyanyian Aqeesh Aleeya yang diterbitkan Nova Music kini boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik. Video muzik rasmi “Lelah” juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music.

Lelah – Aqeesh Aleeya| Official Music Video (Ost Rindu Kasih 2)