Ara Johari syukur lagu ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ raih sambutan luar biasa

KUALA LUMPUR, 23 Februari 2025 – Penyanyi terkenal, Ara Johari, meluahkan rasa syukur apabila lagu baharunya berjudul Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL) mendapat sambutan luar biasa daripada pendengar.

Lagu ciptaan komposer dari Indonesia, Ilham Baso, itu berjaya menduduki tangga pertama carta RIM (Recording Industry Music of Malaysia) selama dua minggu berturut-turut.

“Alhamdulillah, penat lelah saya dan pasukan berbaloi. Kejayaan ini menjadi pemangkin semangat untuk saya terus menghasilkan karya yang lebih baik pada masa akan datang.

“Saya juga gembira kerana kolaborasi pertama bersama komposer dari Indonesia membuahkan hasil yang amat membanggakan,” katanya.

Lirik video dan audio MJOL yang dilancarkan pada 31 Julai tahun lalu kini telah melebihi 10 juta tontonan di YouTube, sekali gus membuktikan populariti lagu tersebut dalam kalangan peminat muzik tanah air.

Mengorak langkah lebih jauh, pelantun lagu Bunga itu turut merancang untuk mempromosikan lagu tersebut di Indonesia.

“Kami masih merangka perancangan untuk memasarkan lagu ini ke Indonesia. Mungkin akan ada sedikit kelainan daripada versi asal agar lebih sesuai dengan pasaran di sana.

“Insya-Allah, selepas Hari Raya Aidilfitri nanti, kami akan ke sana untuk memulakan promosi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ara mengakui kejayaan MJOL turut memberi sedikit tekanan untuk mencari material baharu yang mampu memenuhi jangkaan peminat.

“Sekarang saya masih dalam proses mencari lagu baharu. Sudah tentu ada tekanan kerana saya mahu menghasilkan lagu yang lebih baik daripada sebelumnya.

“Saya juga berharap dapat bekerjasama dengan komposer baharu dan tidak menolak jika diberi peluang untuk mencuba genre yang berbeza,” jelasnya.

Sementara itu, Ara turut berkongsi keterujaannya untuk mempersembahkan lagu MJOL buat pertama kali di pentas besar pada acara Gempak Most Wanted Award 2024 yang berlangsung malam ini.