Arish Mikael kembali: ‘Antara Puisi dan Rautmu’ sentuhan jiwa seni

KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan single pertamanya, Nukilanmu, penyanyi dan pencipta lagu Arish Mikael kembali mengorak langkah dalam industri muzik dengan melancarkan single terbarunya, Antara Puisi dan Rautmu. Lagu yang diterbitkan oleh Luncai Emas ini bukan sekadar karya muzik, tetapi juga luahan hati seorang seniman yang mendambakan kejujuran dalam seni dan percintaan.

Berlatarkan kecintaan terhadap muzik sejak kecil, Arish Mikael, anak kelahiran Johor ini, membesar dalam keluarga sederhana yang banyak mempengaruhinya dalam bidang seni. Minatnya terhadap muzik bermula dengan alat muzik drum sebelum berkembang kepada bidang penciptaan lagu dan nyanyian. Inspirasi muziknya banyak dipengaruhi oleh lagenda seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Mamat Khalid, dan kumpulan rock lagenda Search.

Menurut Arish, Antara Puisi dan Rautmu mengangkat tema cinta dari perspektif seorang seniman yang melihat keindahan lebih daripada sekadar rupa.

“Puisi dalam lagu ini melambangkan jiwa seni yang terinspirasi oleh keindahan, manakala ‘Raut’ pula bukan hanya sekadar wajah, tetapi lebih kepada aura dan ekspresi yang menggambarkan perasaan seseorang,” jelasnya.

Lagu ini sebenarnya dicipta sejak zaman persekolahannya dan pertama kali direkod secara DIY sebelum dilancarkan dalam bentuk demo di YouTube. Dengan sentuhan baharu oleh penerbit utama Hidayat Pitahati, serta bantuan daripada Izzat Ramayan dan Faliq Mohd sebagai jurutera bunyi, versi studio lagu ini hadir dengan dimensi yang lebih matang dan profesional.

“Bekerja dengan pasukan muzik yang berpengalaman memberi saya peluang untuk berkembang dan meneroka elemen baharu dalam karya saya,” kata Arish.

Mengangkat genre pop dengan elemen rock n roll, lagu ini dijangka mampu menarik perhatian pelbagai lapisan pendengar. Walaupun tidak meletakkan ekspektasi yang tinggi, Arish berharap Antara Puisi dan Rautmu dapat diterima dengan baik oleh peminat muzik tempatan.

“Saya percaya muzik adalah tentang ekspresi, dan saya berharap lagu ini bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberikan inspirasi kepada mereka yang mendengar,” katanya lagi.

Single Antara Puisi dan Rautmu kini boleh didengari di semua platform digital sejak 21 Februari lalu, lengkap dengan visualizer yang telah dilancarkan di saluran YouTube rasmi Arish Mikael.