‘Aroma’ Cinta Bunga Citra Lestari Kembali Semerbak di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 6 Jun 2025 – Penyanyi tersohor Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) bakal mengubat rindu para peminat di Malaysia menerusi sebuah konsert eksklusif bertemakan cinta, BCL: Eternal Love – Timeless Romance, yang akan berlangsung pada 27 September 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Konsert yang dibawakan oleh penganjur baharu namun berpengalaman, Pulse Project Asia, dijanjikan sebagai sebuah persembahan penuh emosi dan nostalgia, menghimpunkan karya-karya ikonik BCL seperti Cinta Sejati, Cinta Pertama (Sunny), Karena Ku Cinta Kau, 12 Tahun Terindah serta lagu terbaharunya, Memulai Kembali.

“Konsert ini adalah hadiah istimewa buat para peminat setia BCL di Malaysia yang telah menyokong beliau sejak lebih sedekad lalu. Kami mahu membawa peminat menyusuri perjalanan seni beliau dalam suasana yang intim dan berbeza berbanding konsert-konsert terdahulu,” ujar Muhammad Anuar Zaini, wakil Pulse Project Asia.

Tambah beliau lagi, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik semata-mata, sebaliknya bakal menyentuh hati penonton menerusi penceritaan muzik cinta abadi BCL yang disampaikan bersama produksi berkelas dunia, termasuk pencahayaan dan tata pentas yang memukau.

Bagi BCL sendiri, konsert ini merupakan wadah untuk berkongsi kasih sayang dan penghargaan kepada peminat Malaysia yang sentiasa memberikan sambutan hangat terhadap setiap kunjungannya.

Sebagai kejutan istimewa, 300 pembeli tiket terawal berpeluang menikmati Pas Soundcheck Eksklusif, membolehkan mereka menyaksikan secara langsung sesi latihan BCL sebelum konsert bermula.

Selain itu, tiket kategori eksklusif Cinta Abadi turut ditawarkan – menggantikan kategori VVIP – yang memberikan akses eksklusif kepada sesi Meet & Greet peribadi bersama BCL, sesi bergambar serta barangan istimewa yang ditandatangani oleh penyanyi itu sendiri.

Tiket boleh didapati secara rasmi bermula hari ini di platform Ticket2U, dengan harga pre-sale bermula RM259. Tempat duduk terpilih turut ditawarkan pada harga Early Bird yang sangat terhad, dan akan kembali ke harga asal selepas kuota dipenuhi. Harga tiket biasa pula bermula dari RM288.

Sebagai tanda penghargaan kepada peminat, diskaun 10% turut diberikan kepada pembelian tiket yang dibuat pada hari pelancaran rasmi hari ini, 6 Jun 2025, bermula jam 3 petang.

Peminat diingatkan supaya mendapatkan tiket hanya menerusi platform rasmi Ticket2U bagi memastikan kesahihan dan akses kepada tawaran eksklusif yang tersedia.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan sebuah malam penuh magis dan cinta bersama BCL – tempah tiket anda hari ini dan jadilah sebahagian daripada detik bersejarah BCL: Eternal Love – Timeless Romance pada 27 September nanti.