January 13, 2025

Bermula dengan penulisan lagu dan lirik untuk artis-artis rakaman ternama Singapura dan Malaysia, bekas penyanyi kumpulan folk Rausyanfikir yang popular dengan lagu-lagu bertemakan kisah-kisah sosial rakyat, Art Fazil kini telah menerbitkan dua buah album serentak iaitu Rembulan Ramadan dan Ramadan Moon.

Album Rembulan Ramadan dan Ramadan Moon adalah dua buah album muzik yang sama tetapi tidak serupa. Kedua-dua album ini mempunyai lapan buah lagu dan bertemakan sempena bulan Ramadan. Perbezaan pada album-album ini cumalah dari segi bahasa. Rembulan Ramadan dirakam di dalam Bahasa Melayu manakala album Ramadan Moon adalah versi Bahasa Inggerisnya. Lagu-lagu di dalam album-album ini disusun untuk membawa pendengar melalui suatu perjalanan bulan Ramadan dengan lagu- lagu yang bersifatkan kerohanian.

Art fazil yang pernah popular dengan lagu Fikir-Fikir, Satu Suara, Ali Malas dan Pesta Perut bersama kumpulan Rausyanfikir, sangat berharap agar album baharu ini akan menyemarakkan lagi persada muzik spiritual, sebagai suatu juadah halwa telinga untuk meraikan bulan Ramadan sama ada di dalam bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris.

“Album versi Bahasa Inggeris, Ramadan Moon diharap dapat meraikan Ramadan kali ini bersama mereka yang tidak berbahasa Melayu, terutamanya di kalangan mualaf yang baru mahu mengenali Ramadan dan juga anak- anak yang sedang mempelajari tentang Ramadhan.” Kata Art Fazil yang pernah berlakon telemovie berjudul Kau Mencipta Dosa Ku dan Salam Lebaran dibawah arahan Eirma Fatima.

Kedua-dua album yang berkonsepkan Ramadhan dan perjalanan Ramadan ini diakhiri dengan sebuah lagu berkenaan 1 Syawal di penghujungnya bagi melengkapkan pengalaman Ramadan.

Selain itu, istimewanya projek ini adalah ia merupakan album muzik pertama Art Fazil yang dihasilkan secara solo. Kali ini Art Fazil telah bereksperimentasi dengan memainkan setiap peralatan muzik untuk setiap lagu di dalam album-album ini seorang diri. Dari gitar akustik ke gitar elektrik, gitar bass dan kesemua alatan gendang dimainkan oleh Art Fazil sendiri. Tidak berhenti di situ, Art Fazil turut mencabar kebolehan dirinya dengan mempelajari dan menggunakan AI (Artificial Intelligence) untuk menghasilkan video-video muzik bagi lagu-lagu di dalam kedua-dua album ini.

Lagu-lagu di dalam album Rembulan Ramadan dan Ramadan Moon boleh didapati di pelbagai applikasi muzik atas talian. Ikuti akaun media sosial Art Fazil – Instagram, Tiktok, Facebook dan YouTube untuk video-video muzik AI bersiri yang akan dikeluarkan sejurus sebelum dan di sepanjang bulan Ramadan 1445.

Berikut adalah senarai lagu yang terkandung di dalam album Ramadan Moon dan Rembulan Ramadan:

Senarai lagu di dalam album Ramadan Moon :

  1. Ramadan Moon Sighting
  2. The Sahur Call
  3. Hunger And Thirst
  4. Iftar Time
  5. Tarawih (Beautify Your Ramadan Nights)
  6. Tahajud (The Night Prayer)
  7. Laylatul Qadar (The Night of Power)
  8. The First Day of Syawal

Senarai lagu di dalam album Rembulan Ramadan :

  1. Bulan Sabit Di Kaki Langit
  2. Seruan Sahur
  3. Lapar Dan Dahaga
  4. Iftar (Waktu Berbuka)
  5. Terawih (Indahkan Malam Ramadan)
  6. Tahajud (Waktu Berbisik-bisik)
  7. Malam Seribu Bulan
  8. Pada Satu Syawal