December 4, 2023

KUALA LUMPUR : Art of Speed, sebuah acara tempatan Malaysia yang terkenal dengan Custom and Counter Culture kini kembali dengan acara tahunannya yang kesepuluh pada tahun ini, selepas dua tahun menyepi dek penangan pandemik COVID-19. 

Acara ini kembali meriah dengan dengan persembahan jentera motosikal kustom, kenderaan radikal, pameran restorasi seni dan budaya kustom. Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), menjadi tapak acara Art of Speed 2022 (AOS 2022) yang berlangsung pada 2 dan 3 Julai 2022.

Art of Speed 2022 menjadi medan tetamu dari luar negara  terdiri daripada komuniti kustom dan juga kehadiran wakil-wakil media antarabangsa. Antara mereka yang hadir ke Art of Speed 2022 adalah :

  1. Emi Suganuma, “Sunny” Yano dan Michi “NATQQ” dari MOONEYES (Japan) 
  2. Scott Johnson dari Mama Tried Motorcycle Show (Amerika Syarikat)
  3. Warren Heir Jr. dari Flat Out Friday (Amerika Syarikat)
  4. Artis Chopper dan Kustom; Russell Murchie “MOW” (Australia)
  5. Dino Dalle Carbonare dari Speedhunters.com (Japan)
  6. Yasuo Sekijima dan Satoru Ise dari Vibes Magazine (Japan)
  7. Artis pinstripe Mil dari Millart (Indonesia)
  8. Aekalak Kitdusitpong pembuat model skala diecast dari AKARA (Thailand)

Art of Speed Invitational Bike Build Off 2022 tahun ini, menyaksikan tujuh bakat khas bersaing untuk hadiah pemilihan juri berbentuk wang tunai berjumlah RM10,000 dan hadiah bagi pilihan awam sebanyak RM5,000. Keputusan dari pihak juri memihak kepada SKATECTURE dari Kuching, Sarawak yang terdiri oleh Mohammad Nasir bin Morni, Umar Sulaiman, Hafiq bin Kamaluddin, Amin Ridzuan dan Hafiz Yem, dan pilihan awam memihak kepada MOTO BURUK GARAGE dari Pulau Pinang iaitu Mohamad Aidzam bin Alias.

Pengunjung yang hadir ke acara Art Of Speed 2022
Asep Ahmad Iskandar selaku Pengarah Art Of Speed Festival 
501st Legion Malaysia Garrison antara tarikan kanak-kanak dan keluarga

Hot Wheels telah kembali dengan pameran hebat yang menampilkan Monster Truck Bone Shaker bersaiz sebenar di tapak acara AOS 2022. Pengunjung acara dapat melihat secara dekat dan bergambar dengan kereta mereka dengan latar belakang blister Hot Wheels saiz sebenar. 

NoEqual.co pula kembali dengan NEAT Fest di Dewan C, menampilkan paparan kolektif kenderaan yang terpilih dari seluruh Malaysia dengan nama “Garage Life”. Tampil kembali untuk AOS 2022 adalah Hail Vintage yang menampilkan pameran pakaian kerja vintaj. Turut serta dalam Hail Vintage tahun ini adalah Jubilee Antique Café yang menampilkan citarasa makanan kopitiam Kelantan yang istimewa.

Tarikan baharu dalam AOS 2022 adalah penambahan venue di Dewan D berkonsepkan gaya hidup perkhemahan yang digelar Off The Grid iaitu konsep baharu dalam “outdoor lifestyle”. Kustom & Koffee Talk bersama NoEqual.co dikendalikan oleh Qhalis Najmi telah berlangsung di dalam Dewan A bersama panel dari luar negara antaranya Scott Johnson dari ‘Mama Tried Motorcycle Show’ dan Warren Heir Jr. dari ‘Flat Out Friday’. Forum yang membincangkan topik-topik terkini di dalam industri permotoran.

Pelbagai acara dan aktiviti telah dijalankan sepanjang dua hari acara AOS 2022 ini berlangsung, ini termasuk, Roda Rumble 2022 iaitu ‘perhimpunan dua roda dan festival’ yang disokong oleh Retro Mania, La Cultura iaitu perhimpunan penghargaan budaya Chicano yang pertama di Malaysia, tapak makanan (foodtruck), bazar jualan dan fesyen moden, pasar lambak vintaj, perhimpunan pemilik kereta Alfa Romeo, pameran dari Hot Wheels Club Malaysia, demo dan paparan Mini Crawlers RC, Zon Pandu Uji untuk motorsikal dan perasmian produk di pentas utama.

Antara acara yang paling ditunggu-tunggu oleh pengunjung AOS 2022 terutamanya peminat hiburan tanah air adalah ‘Festival Sound Circus‘. Barisan artis ‘Festival Sound Circus‘ telah menampilkan Kumpulan Hujan sebagai artis utama dan disertai oleh band-band lain antaranya Sekumpulan Orang Gila, Flop Poppy, SweetAss, Iqbal M., Balok People dan ramai lagi.   

Melengkapkan pertunjukan acara, pada hari terakhir AOS 2022 telah diadakan cabutan bertuah dimana seorang pemenang bertuah pulang dengan satu unit Skuter Vespa Klasik EV yang telah direstorasi oleh Kluk Klek Soul dan pengubahsuaian EV oleh Elders Elettrico. Pemenang bertuah pertama dirangkul oleh Muhammad Khairul Anas Bin Rohani dari Parit Buntar, Perak. Pemenang kedua pula adalah Muhammad Khairul Izwan bin Muhammad Saufi dari Sungai Buloh, Selangor. Pelanggan Hausboom di tapak acara yang bertuah memenangi sebuah Vespa Klasik EV yang diubah suai khas oleh Hausboom. 

Muhammad Khairul Anas pemenang EV skuter
Skuter binaan khas dari Hausboom untuk hadiah cabutan bertuah di Art of Speed 2022
Memorandum Persefahaman (MOU) antara Elders Elettrico dan 405 Industries sebagai rakan kongsi teknologi untuk kit penukaran EV
H-D Asia Emerging Market Team bersama Asep Ahmad

Acara itu juga menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Elders Elettrico dan 405 Industries sebagai rakan kongsi teknologi untuk kit penukaran EV. Perkongsian itu bertujuan untuk mengembangkan pasaran kit penukaran EV di Malaysia dan bekerjasama dengan kerajaan untuk pembangunan kaedah kawal selia berkaitan penukaran EV.

Para pemenang kategori motosikal dan kereta ‘Best of Show’ telah memenangi pakej percutian dan dijemput ke acara 30th Annual MOONEYES Yokohama Hot Rod and Custom Show pada Disember ini sebagai tetamu kehormat.

Tahun ini, jenama NASTY sebagai pengeluar produk Global ENDS turut bersama sebagai penaja utamanya. 

“Kami merupakan peminat tegar Art of Speed Malaysia (AOSM) sejak dari mula dan apabila dipelawa untuk bekerjasama bagi meraikan ulang tahun ke-10 penubuhannya, ia merupakan sebuah penghargaan besar yang tidak harus kami dipersiakan,” jelas Encik Shariffudin Bujang, selaku Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NASTY.

Art of Speed Malaysia mendapat sokongan oleh Tourism Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang telah dilancarkan oleh YB Dato’ Sri Hajjah Nancy Shukri dengan slogan ‘Cuti-cuti Malaysia 2022’ dalam usaha bagi meningkatkan pelancongan domestik.

Persembahan dari SOG
Pengunjung berhibur menyaksikan konsert
Kumpulan Hujan
Asep Ahmad bersama Kombat Kugiran d’tepi Pantai