February 11, 2025

PETALING JAYA – Majlis Bandaraya Petaling Jaya telah mengatur 21 program sempena sambutan Ulang Tahun Ke-17 Petaling Jaya sebagai bandar raya di acara kemuncak majlis perasmian yang telah diserikan dengan konsert istimewa oleh artis popular Indonesia Firman dan Nabila Maharani, disamping Neeta Manis, Mr 5k, Sarah Suhairi dan Aliff Aziz.

Persembahan istimewa artis popular ini menjadi kemuncak acara Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya ke-17 yang telah dirasmikan oleh Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Yang Berhormat Tuan Hee Loy Sian, malam tadi di Laman MBPJ.  

Hee Loy Sian bersama Azhan merasmikan gimik pelancaran

Menurut Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir, sambutan ulang tahun ke-17 Petaling Jaya sebagai bandar raya telah melaksanakan sebanyak 21 program sepanjang bulan Jun ini dan “PJ Love U” diangkat menjadi tema sambutan kali ini.

“sambutan tahun ini meliputi pelbagai program berbentuk jualan dan pameran, pertandingan dan kejohanan, sumbangan, serta perkhidmatan percuma yang dirangka Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi mendekatkan diri dengan komuniti setempat. 

“Tahun 2023 ini merupakan tahun yang ke-17 Petaling Jaya menjadi sebuah bandar raya. ‘PJ Love U’ diangkat sebagai tema kali ini dengan mengambil kira Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya yang inklusif, manakala program dan aktiviti yang diatur juga melibatkan penyertaan dan memberi manfaat kepada semua peringkat komuniti.” Katanya.

Pelbagai acara kebudayaan dipersembahkan

Pada majlis yang telah diadakan malam tadi, pelbagai acara telah dipertandingkan antaranya perarakan yang membabitkan kategori Agensi dan Badan Kerajaan, Badan Korporat, Majlis Perwakilan Penduduk dan Persatuan serta Pusat Pengajian Tinggi (Universiti dan Kolej). 

“Majlis awalnya mensasarkan sebanyak 16 pasukan bakal menyertai pertandingan ini dan tidak menduga ia telah menarik penyertaan sebanyak 18 pasukan. Perarakan tahun ini juga turut disertai Sahabat Radio Suria FM dan Sahabat Motorsikal MBPJ,” katanya. 

Pertandingan perarakan
Pertandingan perarakan

Menurutnya lagi pelaksanaan program juga tertumpu di Taman Bandaran Kelana Jaya, The Spine, Dewan D’Kelana, selain lokasi utama di Laman MBPJ, Dataran Boulevard dan Pusat Bandar Seksyen 52. 

“Pemilihan lokasi ini selaras dengan hasrat Majlis menghidupkan persekitaran Pusat Bandar Seksyen 52 dan seterusnya mempergiatkan usaha mempromosi Bandar Raya Petaling Jaya sebagai Kota Seni,” jelasnya. 

Pertandingan perarakan

Bagi acara PJ Smart Ride yang dijadualkan hari ini, menyaksikan selebriti popular, Baggio Damasutra bakal memberi cabaran dalam pertandingan kayuhan berbasikal sejauh 45 km. 

Manakala pada malam nanti, MBPJ menjemput umat Islam, khususnya warga Petaling Jaya menghadiri majlis PJ Berselawat di Laman MBPJ yang akan turut dihadiri agamawan seperti Habib Nael Ben Taher, Ustaz Basyir Azhari, Ustaz Fitri Abdullah dan Ustaz Adlu Kan Yong Sheng. 

Nabila Maharani

Terdahulu, Nabila yang popular dengan lagu Ayang, mengakui sambutan penonton cukup hebat dan konsert ini seperti beliau sedang ‘busking’ di mana penonton berdiri di sekelingnya untuk menyaksikan persembahannya.

Bagi Firman Siagian yang popular dengan lagu Kehilangan, merasakan konsert ini tersangat intim bersama penonton dan beliau belum pernah lagi membuat konsert sedemikian rupa di Indonesia yang mana penontonnya begitu rapat dan mengelilinginya. Bagi Firman ini sesuatu yang baik buatnya kerana dapat mendekati para peminatnya di Malaysia.

Firman Siagian

Mohamad Azhan yang menyambut ulang tahun Petaling Jaya buat kali kedua, mengimpikan bandar raya terkemuka Selangor ini akan dikenali bukan saja di Malaysia, malah luar negara. 

“Selain mengimpikan Petaling Jaya dikenali sebagai Kota Seni yang penuh dengan aktiviti kebudayaan dan pelancongan, saya berharap MBPJ menjadi Pihak Berkuasa Tempatan yang memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Petaling Jaya dan menjadi contoh atau model kepada agensi kerajaan, mahu pun swasta. 

Juara keseluruhan pertandingan perarakan

“Kenalilah Petaling Jaya ini sebagai satu bandar raya yang maju dan sejahtera, selaras pelan strategik PJSSR 2023, ‘PJ Smart, Sustainable and Resilience 2030,” katanya, seraya mengalu-alukan kehadiran pengunjung dalam dan luar negara, selain penduduk dan komuniti Petaling Jaya. 

Untuk rekod, pengisytiharaan rasmi Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya dibuat pada 20 Jun 2006.

Johan perarakan bagi kategori agensi
Alif Aziz
Sarah Suhairi
Neeta
Mr 5K