KUALA LUMPUR, 24 Mac – Dalam semangat keberkatan dan kebersamaan Ramadan, Astro Shaw dan Mirinda telah mengadakan majlis berbuka puasa bersama 40 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur, Rawang, Selangor. Acara ini dimeriahkan dengan penyampaian sumbangan duit raya serta hamper oleh Amy Gan, Ketua Penjenamaan, Pemasaran & Pengedaran Astro Shaw, serta Norsalvina Alwee kepada anak-anak yatim berkenaan.
Majlis yang mendapat kerjasama daripada 7UP, Wonda Coffee dan Goodday Charge ini turut diserikan dengan kehadiran barisan pelakon terkenal. Antara selebriti yang hadir ialah Nas Muammar Zar, Anwaar Beg Moghal dan Shweta Sekhon dari filem Keluang Man, serta Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur dari filem Abah Saya Uncle Mike. Turut serta ialah barisan pelakon drama premium One Cent Thief 2, Azira Shafinaz, Syarul Ezani dan Trisha Ooi, serta Malek Mccrone dan Charles Roberts dari First Wives. Istimewanya, individu sebenar yang menginspirasi filem Abah Saya Uncle Mike, iaitu Michael Tong Wai Siong atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, turut hadir bersama tiga anak angkatnya, Rafei, Rasyid dan Rahman.

Menurut Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, kerjasama dengan Etika bukan sahaja mengukuhkan jenama kedua-dua pihak tetapi juga mendekatkan mereka dengan masyarakat. “Pada bulan mulia ini, tiada yang lebih bermakna buat kami selain dapat berkongsi rezeki dan menggembirakan mereka yang memerlukan,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Mirinda turut melancarkan treler rasmi Raya Balik Rayaaahhh bagi filem Abah Saya Uncle Mike, yang mengisahkan tentang Uncle Mike dan tiga anak angkatnya bersatu semula dalam suasana perayaan. Treler ini sudah boleh ditonton di platform media sosial.

Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, menyatakan bahawa Mirinda ingin menyemai kemeriahan perayaan ini di hati anak-anak yatim. “Semangat Raya yang penuh warna-warni, kegembiraan dan kasih sayang menjadi inspirasi utama bagi jenama kami,” katanya.
Selain majlis berbuka puasa, Astro Shaw dan Mirinda turut melancarkan beberapa acara interaktif sepanjang Ramadan dan Syawal, antaranya sesi ramah mesra bersama pelakon filem Keluang Man, Abah Saya Uncle Mike, serta drama One Cent Thief 2 dan First Wives. Acara ini diadakan di pasar raya terpilih sekitar Lembah Klang, membolehkan peminat bertemu selebriti kegemaran mereka serta menyertai sesi autograf dan tayangan eksklusif.

Dalam usaha memberikan lebih banyak peluang kepada bakat baharu, sesi uji bakat bagi drama premium Bad Cop turut diadakan di lokasi terpilih. Pembeli yang memenuhi syarat tertentu berpeluang menyertai sesi uji bakat secara ekspres.
Mirinda turut menawarkan hadiah e-Duit Raya berjumlah RM260,000 bagi pembeli bertuah yang membuat pembelian minimum RM15 dalam satu resit sepanjang kempen dari 1 Mac hingga akhir April 2025.
Penonton boleh menantikan filem aksi Keluang Man yang akan ditayangkan di pawagam bermula 29 Mei 2025, manakala Abah Saya Uncle Mike bakal ditayangkan pada Ogos depan. Drama First Wives pula akan mula ditayangkan pada 11 April 2025 di Astro Go, On Demand serta saluran Astro Ria pada jam 9.00 malam.