KUALA LUMPUR, 19 April 2025 — Astro Shaw meneruskan usahanya memartabatkan karya tempatan dengan mengumumkan kolaborasi istimewa bersama jenama piuter tersohor negara, Royal Selangor, untuk melancarkan koleksi eksklusif berinspirasikan filem adiwira tempatan, Keluang Man.
Kerjasama sulung antara dua jenama ternama ini menyaksikan pelancaran figurine dan pin lapel edisi terhad yang direka khas oleh tukang piuter mahir Royal Selangor. Koleksi ini menyerlahkan identiti dan semangat adiwira ikonik tempatan melalui sentuhan seni kraf yang halus dan berkualiti tinggi.
Koleksi tersebut menampilkan dua item utama:
- Figurine Keluang Man — Dihasilkan dengan piuter bermutu tinggi dan kemasan satin, figurin ini menggambarkan Keluang Man dalam aksi ‘bersilat’ yang menjadi identitinya. Dikeluarkan hanya sebanyak 30 unit, setiap satu mempunyai nombor siri unik dan tapaknya disediakan ruang untuk ukiran peribadi.
- Pin Lapel Piuter Keluang Man — Memaparkan lambang ikonik wira rakyat itu, pin ini tersedia dalam dua versi: kemasan satin dan edisi khas bersalut emas 24K, terhad kepada 100 unit sahaja.
Koleksi eksklusif ini bakal mula dijual di kedai-kedai Royal Selangor terpilih bermula Mei 2025.
“Kolaborasi ini mencerminkan strategi kami untuk memperluaskan nilai IP (harta intelek) filem tempatan dan seterusnya memperkukuhkan jenama Keluang Man melalui kerjasama dengan jenama premium seperti Royal Selangor. Ia bukan sekadar koleksi, tetapi satu usaha memperkukuh ekosistem industri kreatif dan mengangkat lagi warisan seni Malaysia,” kata Penerbit Eksekutif merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad.
Filem Keluang Man yang diarahkan oleh Anwari Ashraf bakal menemui penonton di pawagam pada 29 Mei 2025. Filem ini dibintangi barisan pelakon hebat termasuk Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder dan Dennis Yin.
Sementara menantikan tayangan filem di pawagam, peminat boleh mengimbas kembali nostalgia dengan menonton siri animasi asal Keluang Man dari musim pertama hingga ketiga di laman rasmi www.keluangman.com.
Untuk perkembangan terkini, klip eksklusif dan kemas kini filem, ikuti Astro Shaw dan Astro Gempak di TikTok, Instagram, X dan Facebook.