Sebagai peneraju utama dalam industri perfileman tempatan, Astro Shaw terus mengorak langkah untuk memajukan sinema Malaysia agar mampu bersaing dengan pasaran serantau dan antarabangsa. Inisiatif terbaharu yang diperkenalkan ialah Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU), satu projek strategik yang bertujuan mengembangkan IP filem terbitan Astro Shaw menerusi platform filem dan siri premium.
Menurut Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, inisiatif ini adalah langkah signifikan untuk mencipta peluang baharu kepada pembikin filem dan menyumbang kepada ekosistem perfileman negara.
“Kami ingin membuka pintu kerjasama kepada studio produksi, tenaga kreatif, dan bakat seni, selain melibatkan pelbagai sektor industri untuk memperluaskan capaian penonton. Dengan Astro Shaw Cinematic Universe, kami berhasrat membawa transformasi dalam naratif sinematik Malaysia,” katanya.
Filem dan Siri Premium Baharu
Di bawah ASCU, pelbagai IP blockbuster akan dihasilkan bermula 2025, termasuk francais terkenal seperti Polis Evo 4, Reza, dan siri premium Evo Academy. Francais Keluang Man turut menyaksikan beberapa projek seperti Keluang Man, Baling, Patani, Keluang Man 2, Besut, dan Kataha. Tidak ketinggalan, High Council Universe akan diperluaskan dengan siri premium Kudrat 1968.
Puncak kepada projek ASCU adalah penghasilan sebuah filem gabungan pada 2028, yang akan menyatukan pelbagai watak dan cerita dari dunia sinematik ini. Ia bakal mencipta sejarah sebagai langkah pertama seumpamanya dalam industri filem Malaysia.
Berbeza dengan universe superhero sedia ada, ASCU menawarkan pendekatan unik dengan meneroka naratif yang saling berkait melalui pelbagai genre.
“Kami ingin memberikan pengalaman sinematik yang baru dan tidak dijangka kepada penonton, mencerminkan nuansa budaya Malaysia,” tambah Raja Jastina.
Cabaran dan Transformasi Industri
Walaupun kutipan box office (GBO) penting, Astro Shaw turut meneroka sumber pendapatan baharu seperti merchandise, integrasi jenama, dan platform digital.
“Sebagai penerbit, kami perlu memastikan naskhah yang dihasilkan terus relevan dan mampu bertahan lebih lama di pasaran. Inisiatif seperti ini mampu memanjangkan jangka hayat filem serta menyokong pertumbuhan industri,” jelas Raja Jastina.
Astro Shaw juga mengumumkan beberapa kolaborasi strategik dengan jenama besar seperti Wonda Coffee untuk Keluang Man, Mirinda untuk The Experts, serta Tune Talk dan Grab untuk Kahar: Kapla High Council. Kolaborasi ini termasuk penghasilan iklan komersial yang menampilkan pelakon utama serta merchandise edisi terhad.
Menyemarakkan Sinema Malaysia
Sejak penubuhannya pada 1996, Astro Shaw telah menghasilkan pelbagai filem yang menjadi kegemaran penonton. Dengan pengenalan ASCU, Astro Shaw berharap dapat menghidupkan kembali kegemilangan sinema Malaysia dan membuktikan bahawa industri tempatan mampu berdiri setanding dengan karya antarabangsa.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penonton, peminat, studio produksi, dan rakan kerjasama atas sokongan padu selama ini. Sama-sama kita melangkah ke era baharu penuh kemungkinan,” ujar Raja Jastina mengakhiri ucapannya.
Astro Shaw terus komited untuk menjadi pelopor perubahan dalam landskap sinema Malaysia, membuktikan bahawa industri ini mampu melangkaui batas kreativiti dan memperkukuh kedudukannya di pentas global.