KUALA LUMPUR – Setelah menjayakan 2 festival selama 2 tahun berturut turut, juga mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pengunjung, Atas Angin Festival 2024 bakal menggegarkan Rooftop @7, MyTown Cheras sekali lagi pada 3 Ogos ini dengan lebih besar dan berbeza dari tahun yang lalu.
Kemunculan semula festival kali ini akan menjadi lebih luar biasa dimana Atas Angin MY akan membawa 101 barisan artis tempatan dan 5 pentas yang akan menampilkan persembahan yang hebat, di hari yang sama. Selain daripada melakar sejarah peribadi, Atas Angin MY juga mengimpikan untuk menjadi penganjur yang melakukan festival indie terbesar di Asia Tenggara.
Festival ini akan dibahagikan pada beberapa kategori persembahan seperti artis berkumpulan, artis solo dan juga DJ. Antara barisan artis adalah Bittersweet, Alleycats, Hyper Act., Amir Jahari, Estranged, IamNEETA, Iqbal M., Jemput Dengar, Kyoto Protocol dan ramai lagi.
Atas Angin Festival ini akan berlangsung selama 15 jam tanpa henti yang akan bermula pada pukul 9 pagi sehingga acara tamat. Selain itu, Atas Angin Festival kali ini bertujuan untuk mengangkat nama dan bakat artis-artis tempatan di Malaysia.
Pengarah Projek Atas Angin Festival 2024, Arif Imran atau lebih dikenali sebagai Bam menjelaskan kepentingan untuk festival ini dilaksanakan dan dijayakan oleh semua pihak:
“Saya sebagai wakil pihak penganjur merasakan bahawa festival ini lain daripada yang lain. Festival ini mungkin sedikit sebanyak dapat mengubah corak pertunjukan festival di Malaysia dan bakal memberi impak bukan sahaja dari dalam negara. Bagi saya, perjalanan Atas Angin MY selama 6 tahun dan membawa ke festival ini telah menunjukkan bahawa Atas Angin MY sendiri sudah membangun dan berkembang dengan lebih matang dalam mengaturkan segala acara.”
Jualan tiket kini berada di fasa ketiga dan kepada yang masih belum mendapatkan tiket, boleh dapatkan di laman sesawang www.atasangin.com dengan harga serendah RM 159 bagi tiket solo (1x), RM 300 bagi tiket duo (2x), dan RM 556 bagi tiket group (4x).
Foto kredit: Papa Din