September 10, 2024

KUALA LUMPUR – Selepas menerima sambutan hangat pada tahun lalu, Atas Angin Festival kembali pada tahun ini. Kemunculan semula Atas Angin Festival 2023, bakal berlangsung pada 5 Ogos 2023 dengan acara yang lebih luar biasa dan tidak seperti tahun yang lalu.

Kali ini, Atas Angin Festival menampilkan seramai 75 barisan artis tempatan dan penyediaan sebanyak empat buah pentas yang akan menampilkan persembahan-persembahan hebat pada hari yang sama. Ini merupakan konsep amat luar biasa yang cuba dibawakan oleh Atas Angin MY. 

Tidak keterlalun jika dikatakan Atas Angin Festival 2023 bersedia untuk melakar sejarah sebagai festival indie terbesar di Malaysia. Bakal diadakan di Rooftop @ level 7 Mytown Cheras, festival ini dibahagikan kepada tiga kategori persembahan iaitu artis berkumpulan, artis solo dan juga DJ. 

Antara barisan artis yang bakal menggegarkan festival ini seperti lamNEETA, seixth Sense, Skudap Skudip, Kugiran Masdo dan ramai lagi. 

Atas Angin Festival bakal membawa pembaharuan dan bersedia menggalas tanggungjawab dalam membawa muzik dan artis lokal Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi. 

Dalam pada itu, Atas Angin Festival akan berlangsung selama 15 jam tanpa henti bermula pada pukul 9 pagi sehingga acara tamat. Festival ini amatlah berbaloi dengan harga tiket yang ditawarkan serta pengunjung yang hadir dapat merasai pelbagai variasi muzik.

Pengarah Projek Festival Atas Angin 2023, Arif Imran (foto: Papa Din)

Menurut Pengarah Projek Festival Atas Angin 2023, Arif Imran atau lebih dikenali sebagai Bam berkata, pihak penganjur menjanjikan yang terbaik kepada para pengunjung dan bakal memberi kepuasan maksima kepada semua.

“Besar harapan  kami agar festival ini dapat dilaksanakan dan dijayakan. Saya sebagai wakil pihak penganjur merasakan bahawa festival ini akan memberi impak kepada barisan artis lokal, selain dapat membuka mata pengunjung tentang bakat-bakat yang ada di negara kita. 

“Saya juga berharap usaha dan mesej yang kami bawa menerusi festival ini nanti sampai kepada masyarakat, bagi membuktikan bahawa ‘underground scene’ juga mempunyai ramai bakat besar dan luar biasa yang hebat.” Katanya.

Sementara itu, jualan tiket hampir separuh terjual setakat ini sebaik sahaja pengumuman mengenai festival ini dihebahkan. 

Jualan tiket kini berada di fasa kedua dan kepada yang masih belum mendapatkan tiket, boleh mendapatkan di laman sesawang www.atasangin.com dengan harga serendah RM150 bagi ahli dan RM 170 bagi yang bukan ahli. Harga tiket tidak termasuk caj pemprosesan pembelian tiket.