April 19, 2024

SETIAP karya yang dihasilkan hadir bersama segunung harapan agar usaha yang dikerjakan sepenuh jiwa mendapat tempat di hati khalayak. Harapan besar itu diletakkan penyanyi bersuara lantang, Salma Asis untuk single terbaharunya, Atas Nama Cinta yang diperkenalkan pada 23 Februari lalu.

Salma, 33, berharap Atas Nama Cinta hasil ciptaan bersama Knight Cydeen dan Syaf Ramli dapat memacu kembali nama, seterusnya memahat posisi selesa pada perjalanan karier seninya selepas hampir 13 tahun berjuang.

Diterbitkan bersama Awal Muzik Entertainment dan CQ Music Malaysia, Salma berkata, dia tidak pernah lelah berusaha, malah percaya Atas Nama Cinta mampu memberikan kepuasan buat peminat yang tidak jemu menanti karya terbaharunya.

“Sebelum Atas Nama Cinta, ada beberapa single yang Salma hasilkan cuma kurang mendapat sambutan. Namun, Salma sentiasa percaya dengan rezeki yang tertulis dan berusaha mencari lagu baharu yang memenuhi kehendak Salma serta peminat.

“Sebaik mendengar lagu ini, terdetik di hati Salma untuk merakamkannya sebagai single terbaharu. Salma tertarik dengan komposisi dan lirik lagu ini yang sangat puitis.

“Kali pertama mendengar demo dan menghayati bait liriknya, Salma seperti mahu menangis. Serius, ia sangat menyentuh hati dan perasaan membuatkan Salma tidak mampu menolaknya,” kata anak kelahiran Tawau, Sabah itu.

Bakat yang dicungkil menerusi program Mentor musim kelima dan 3 Juara itu mengakui, pengalaman lalu banyak membantunya sepanjang menyiapkan proses rakaman Atas Nama Cinta.

Mengambil masa dua jam untuk melengkapkan kerja rakaman, Salma berkata, dia memanfaatkan semua pengalaman selama 13 tahun berada dalam industri muzik dan dicurahkan sepanjang merakamkan Atas Nama Cinta.

“Salma membuat persediaan lebih rapi, terutama dalam memahami melodi dan lirik supaya dapat memberikan penghayatan yang terbaik ketika proses rakaman. Salma tahu ramai yang menaruh harapan tinggi untuk melihat Salma terus mencipta kejayaan.

“Alhamdulillah, pengalaman lalu banyak membantu Salma ketika menyiapkan single ini. Mungkin dulu Salma lebih memikirkan bagaimana untuk mencapai nota-nota tinggi ketika menyanyi, tetapi sekarang itu bukan lagi keutamaan.

“Salma kini lebih memberikan fokus kepada penghayatan kerana mahu pendengar benar-benar merasai nyanyian Salma. Itu lebih penting kerana Salma mahu nyanyian Salma lebih seimbang, pada masa sama menyentuh hati ramai,” katanya.

Atas Nama Cinta, akui Salma, sedikit istimewa kerana lagu itu pernah cuba dirakamkan oleh beberapa penyanyi, tetapi tidak diterbitkan atas beberapa alasan.

“Mungkin ini yang dikatakan rezeki. Alhamdulilah, apabila lagu ini sampai ke tangan Salma, semua proses berjalan dengan begitu baik sekali. Cuma dari sudut susunan muzik, Salma minta diubah sedikit untuk disesuaikan dengan cara penyampaian Salma.

“Secara peribadi, Salma tiada masalah untuk bekerja dengan komposer senior atau baharu. Salma tidak pernah meletakkan sebarang syarat kerana apa yang penting, Salma mahu terus melangkah, berusaha dan bekerja keras untuk memastikan karya Salma diterima.

“Salma yakin pada rezeki dan siapa tahu lagu ini dapat membawa Salma untuk kembali beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu selepas kali terakhir membolosi dengan Akhirnya Cinta pada AJL 32,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran dan persaingan dalam industri muzik, Salma tidak menafikan ada ketika dia terkesan apabila peminat sering membandingkan kemampuannya dengan penyanyi lain.

Bagi Salma, seperti insan lain, dia juga mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Justeru, dia berharap peminat lebih terbuka dan menerima kekurangan serta kelebihannya kerana itu yang membentuk identitinya sebagai Salma.

“Salma berterima kasih kepada peminat yang sentiasa memberi kata perangsang dan semangat untuk Salma terus berkarya. Cuma, Salma berharap mereka menerima Salma dengan segala kelebihan dan kekurangan yang Salma ada.

“Pada era media sosial, perjalanan seseorang anak seni itu lebih mencabar tetapi Salma sentiasa positif. Salma peka dengan komen yang diberikan dan sentiasa berusaha memperbaiki diri.

Atas Nama Cinta sangat bermakna buat Salma kerana ia menjadi pembakar semangat untuk Salma terus bertahan dalam industri muzik. Pastinya Salma ingin membawa bakat ini pergi lebih jauh,” katanya.

Menyifatkan kelahiran Atas Nama Cinta sebagai permulaan yang baik untuk 2024, Salma menyimpan impian untuk mencipta nama lebih besar di rantau Nusantara, termasuk menembusi pasaran Indonesia.

“Itu antara impian besar Salma dan semua itu tidak mustahil jika kita bekerja keras. Namun, Salma akur, semua itu berbalik kepada rezeki. Salma sangat berharap Atas Nama Cinta menjadi pilihan untuk dimainkan di stesen radio dan dapat dicalonkan dalam carta Muzik Muzik.

“Doakan semoga usaha terbaharu Salma ini membuahkan hasil kerana Salma juga memasang impian untuk melakar kejayaan besar dalam karier yang Salma cintai ini,” katanya.