Bagai menyambung sebuah perjalanan, itu juga yang dilalui oleh Aufahanie apabila secara
rasminya melancarkan lagu Saat Hilang Cintamu hari ini.
Lagu yang dipopularkan oleh Allahyarham Siti Sarah itu bukan sahaja dinyanyikan semula
tetapi turut mendapat susunan muzik baharu oleh Ajai yang juga merupakan pencipta lagu
tersebut.
Bagi penyanyi berkenaan, pastinya peluang yang diberikan untuk menyanyikan semula lagu
tersebut disambut dengan rasa teruja sementelah lagu berkenaan antara lagu kegemarannya
sejak dahulu.
“Memang ini merupakan satu penghormatan buat saya apabila dapat kembali ke studio dan
merakamkan semula lagu berkenaan. Menariknya, susunan muzik kali ini lebih ‘segar dan besar’ membuatkan lagu ini ada keistimewaan tersendiri.
“Selain itu, saya menganggap ini merupakan satu penghormatan kepada orang baru seperti
saya untuk bekerjasama dengan komposer hebat dan ternama. Setidaknya saya berpeluang
ingin menunjukkan sesuatu kepada pendengar menerusi Saat Hilang Cintamu,” kata
penyanyi yang berusia 20 tahun ini.
Sebenarnya idea untuk merakamkan semula lagu ini tercetus apabila syarikat rakaman
Indigital Music mahu Aufahanie menyanyikan semula lagu ini sempena ulang tahun kedua
pemergian Siti Sarah pada 9 Ogos yang lalu.
Untuk memberikan kelainan, pihak pengurusan ada meminta khidmat Ajai selaku empunya
lagu berkenaan untuk mengiringi nyanyian Aufahanie dan video berkenaan mendapat
sambutan luar biasa daripads pendengar yang mahukan versi studio diterbitkan.
Rentetan itu, Ajai mahu melakukan sesuatu yang lebih besar dan mahu Aufahanie merakamkan semula Saat Hilang Cintamu versi orkestra dan melancarkan lagu tersebut secara rasmi di semua platform digital.
“Sebagai orang baru saya gembira apabila menjadi pilihan komposer popular seperti abang
Ajai. Dia sendiri sudah menyaksikan saya semasa menjadi juri Big Stage baru-baru ini dan
tahu apa kemampuan dan kekurangan diri.
“Memang banyak cabaran yang perlu dilalui semasa proses rakaman berlangsung meskipun
lagu ini sudah ada. Apabila berada di dalam studio, ada perkara baharu yang perlu dipelajari
dan itu merupakan proses yang harus dilalui,” kata finalis Big Stage 5 ini lagi.
Sebenarnya Ajai ada bercadang untuk menerbitkan single baharu sebelum menghasilkan album penuh untuk Aufahanie sebaik sahaja tamat program berkenaan. Sebagai langkah pertama, Saat Hilangnya Cintamu dikeluarkan dahulu sementara menantikan lagu
baharunya.
Jelas Ajai, dia melihat kesungguhan dan kelebihan yang ada dalam diri gadis berkenaan serta percaya dia mampu menjadi seorang penyanyi yang baik pada masa hadapan.
“Untuk menjadi seorang penyanyi yang baik, mereka perlu mempunyai ilmu dalam beberapa
aspek untuk menghidupkan lagu. Saya melihat Aufahanie ada ciri-ciri yang diperlukan dan
tidak mustahil untuk dia menjadi lebih ‘besar’ pada masa hadapan.
“Aufahanie bukan sahaja tahu tentang teknikal untuk menyanyi tetapi juga dia berjaya
menghidupkan semula Saat Hilang Cintamu dengan versi sendiri tanpa mengikut cara
Allahyarham Siti Sarah menyanyi.
“Semua orang boleh menyanyi tapi tak semua mampu menjadi penyanyi yang baik. Saya
yakin sekiranya dia berada di landasan yang betul, dia akan menjadi penyanyi yang
evergreen pada masa hadapan,” tambah Ajai.
Untuk rekod, Saat Hilang Cintamu merupakan salah satu lagu yang termuat dalam album
Mimpi Pun Sama yang dikeluarkan Siti Sarah pada 2003. Lagu ini dicipta oleh Ajai dan lirik
pula ditulis oleh Musrad.
Untuk versi Aufahanie pula, Indigital Music bekerjasama dengan Wake The Baby Records
sebagai penerbit bersama dan lagu ini dilancarkan secara rasmi pada 17 November 2023.