
KUALA LUMPUR – Band pop yang berasal dari Kuala Lumpur, Aus et al., telah melancarkan single terbaharu mereka, “Hey Sudahlah!”, pada 30 Disember lalu. Lagu ini adalah hasil rakaman studio penuh pertama band ini sejak Live EP mereka sebelumnya iaitu Metodologi (Ogos 2023).
“Hey Sudahlah!” bernuansa ceria dan penuh dengan kisah dan momen peribadi penulis lagu dengan anak perempuannya. Lagu ini ditulis oleh vokalis utama Aus, yang terinspirasi dari pengalaman peribadinya saat beliau terbangun oleh tangisan anak perempuannya di tengah malam. Dia cuba untuk menenangkannya dengan berkata, “Hey hey hey, dah dah jangan nangis dah”. Setelah anaknya tertidur, Aus kesukaran untuk tidur dan memutuskan untuk menulis lagu dari momen yang baru saja dia lalui.

“ ‘Hey Sudahlah!’, sebuah lagu yang aku tulis dari satu momen bersama anak aku. Aku selalu ceritakan latar belakang lagu ni setiap kali perform lagu ni secara live.” jelas Aus (vokalis). “Pada satu hari tu, anak aku, Ayla, tiba-tiba terjaga tengah malam, menangis dalam igau. Aku terus angkat dan dukung dia, sambil tepuk-tepuk belakang dia untuk tenangkan dia. Perkataan yang keluar dari mulut aku masa tu adalah, ‘dah, dah, jangan menangis.’ Dari situ lah terciptanya lagu Hey Sudahlah! ni.”
“Justeru, pemilihan ilustrasi visual bagi single ini kami memilih gambar Ayla sendiri sebagai simbolik bahawa lagu ini ditulis untuknya.”
“Proses rakaman lagu ini berjalan lancar walaupun tidak sepenuhnya mengikut jadual yang kami rancang. Tapi jujur kami rasa gembira dengan penambahbaikan yang kami lakukan dalam susunan lagu ‘Hey Sudahlah!’ kali ini. Setiap ahli band mencurahkan idea masing-masing untuk hasil yang terbaik,” jelas Ali (pemain dram).

“Kami berharap para pendengar sedia ada dan pendengar baru gembira dengan arah tuju muzik kami yang akan kami muatkan pada EP kami yang akan datang.” ujar Jin (pemain bass).
Proses rakaman “Hey Sudahlah!” berlaku sedikit kelewatan namun mereka nekad untuk menyiapkan lagu ini, dan sangat berpuas hati kerana dapat mempersembahkannya ke semua pendengar.
“Kami sangat bangga dengan hasil lagu ini,” kata Aus. “Ini adalah lagu yang sangat peribadi dan emosional bagi kami, dan kami berharap lagu ini menyentuh hati setiap pendengar kami.”
“Bermula dengan sebuah pujukan untuk anak yang sedang menangis, aku ilhamkan lagu ni untuk semua orang yang sedang dalam masalah, sedang kecewa, sedang dalam tangisan, untuk hentikan kesedihan-kesedihan tu dengan ‘na na na na~’ (melodi intro) untuk hiburkan diri sendiri.” jelas Aus.

Mereka bekerjasama dengan Noel Ng untuk mengharmonikan lagi vokal dalam lagu ini selaku penyanyi latar belakang dan juga Najmi Zainal dengan tiupan trumpet beliau. Single ini dirakam sepenuhnya di Synkroni Studio, Cheras dan juga bilik rakaman Najmi.
“Hey Sudahlah!” telah pun tersedia di semua platform penstriman bermula 30 Disember lalu.