Aus et al. Sampaikan pesanan harapan melalui ‘Doa Jumaatku’

KUALA LUMPUR – Selepas lama menyepi, kumpulan Alternatif Pop terkenal, Aus et al., kembali memeriahkan dunia muzik dengan single terbaharu mereka berjudul Doa Jumaatku.

Lagu ini merupakan versi rakaman studio yang diperbaharui daripada rakaman langsung yang dimuatkan dalam EP Metodologi. Kali ini, trek tersebut dihiasi dengan bahagian brass yang ditulis oleh Hisyam (keyboard) dan dimainkan oleh Max (trombon) serta Amir (trumpet), menjadikannya lebih segar dan dinamik.

Ali, pemain dram kumpulan itu, meluahkan rasa terujanya terhadap versi terbaharu ini.

“Versi single ini adalah penambahbaikan daripada versi asal. Semua ahli Aus et al. menyumbang idea baharu untuk menjadikan lagu ini lebih menarik dan menyerlah.”

Mengulas tentang inspirasi di sebalik lagu tersebut, Aus, vokalis kumpulan itu, berkata, “Lagu ini terinspirasi daripada pengalaman saya ketika menunaikan Solat Jumaat. Sebelum masuk ke khutbah kedua, kita disunatkan berdoa. Ketika itu, saya terfikir untuk mendedikasikan doa-doa saya kepada orang tersayang. Dari situlah tercetusnya idea untuk lagu ini.”

Menurut Aus lagi, Doa Jumaatku dicipta untuk menghargai mereka yang mengambil berat tentang kumpulan itu, sambil berharap segala doa dan hajat mereka tertunai.

Azeem, pemain gitar kumpulan itu, pula menambah, “Lagu ini mengajak kita mengaminkan doa orang lain. Selalu kita berdoa untuk diri sendiri. Apa kata kali ini kita aminkan doa orang lain pula?”

Single ini melambangkan mesej harapan dan kebaikan yang ingin disampaikan oleh Aus et al., menyeru masyarakat untuk saling peduli dengan mendoakan kesejahteraan bersama.

Sementara itu, kumpulan ini kini dalam proses menyiapkan album pertama mereka yang dijangka dilancarkan pada tahun 2025. Single Doa Jumaatku akan tersedia di semua platform digital bermula 24 Januari 2025, termasuk dalam versi studio penuh dan instrumental karaoke.