January 15, 2025

PETALING JAYA – Perjalanan selama 40 tahun merentasi industri seni bukanlah satu perjalanan yang singkat lebih lebih lagi apabila bermula dari seorang penyanyi kanak-kanak (1983) sehinggalah menjadi penyanyi solo lelaki berprofil tinggi. Nama Anuar Zain sudah mempunyai tempat yang utuh dan khas di hati peminat dan penggemar muzik beliau.

Empat dekad membina legasi dalam industri muzik tempatan, Anuar Zain dengan vokal merdunya, senyum manisnya, aura dan pesonanya yang kuat, serta untaian lagu-lagu miliknya yang cukup popular dan turut menerima pelbagai pengiktirafan di sepanjang kariernya, terus kukuh menjadi antara penyanyi yang disanjungi sehingga kini dan berada di dalam liganya yang tersendiri. 

Beliau menjadi penghibur yang disegani dimana setiap kemunculannya dinanti-nantikan, biar dalam majlis korporat, majlis berprofil tinggi dan eksklusif atau terkadang hanya untuk melihat persembahan beliau mendendangkan beberapa buah lagu di acara terbuka.

Lantas saat penganjur JioBuddy mengumumkan akan menganjurkan Anuar Zain 40th Anniversary Concert, ia adalah sebuah khabar gembira yang dinanti-nantikan oleh seluruh penggemar muzik beliau yang bukan hanya berada di Malaysia tetapi juga dari negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.

Bagi pihak penganjur, konsert ini akan menjadi sebuah lagi lakaran sejarah yang penting buat pelantun lagu Lelaki Ini dalam perjalanan karier seninya yang sentiasa mendapat sokongan positif dari semua pihak.

Konsert ini juga bakal menjadi lambang kematangan perjalanan Anuar Zain didalam karier seninya. Konsert ini akan diadakan pada 28 Oktober 2023 jam 8.30 malam bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam.

Menurut Anuar, beliau dan pihak penganjur memilih tarikh tersebut disebabkan tiada apa acara yang bertindih dengan konsertnya itu. Berkenaan dengan lokasi konsert beliau memilih Stadium Tertutup Malawati kerana banyak kenangan dan nostalgia buat dirinya.

“Saya banyak membuat show di pelbagai vanue tetapi saya memilih Stadium Malawati, Shah Alam disebabkan ianya memberikan saya nostalgia yang sangat manis dan juga bagi saya ianya sangat praktikal untuk penganjuran sesebuah konsert,” katanya ketika majlis sidang media di Jiospace, Petaling Jaya, semalam.

Anuar juga berharap pada mereka yang telah bersama-sama beliau di dalam Konsert  Anuar Zain 3 Dekad pada tahun 2013 yang lalu dan juga pada yang masih belum berkesempatan untuk turut hadir bersama pada Anuar Zain 40th Anniversary Concert.

“Saya mengimpikan agar konsert AZ40 ini akan menjadi kenangan yang terindah di antara kita semua pada malam itu nanti. dan juga akan menjadi kenangan manis buat semua tenaga kerja dan team produksi yang besar didalam menjayakan konsert AZ40 ini. ” ujar Anuar lagi.

Sementara itu, Sean Ng  dari JioBuddy berkata, “Kami di JioBuddy berbesar hati untuk menganjurkan Anuar Zain 40th Anniversary Concert kerana ia bukanlah hanya sebuah konsert biasa tetapi sebagai sebuah biografi untuk meraikan perjalanan seninya yang panjang bersama semua peminat  dan penggemar muzik beliau.

“Konsert ini juga amat penting untuk kami selaku penganjur bagi menyokong industri muzik tempatan, dan memberi yang terbaik kepada penonton mengikut kepakaran kami,” katanya lagi. 

Jennifer Thompson merupakan pengarah konsert ini manakala Sze Wan dipertanggungjawabkan sebagai pengarah muzik untuk Anuar Zain 40th Anniversary Concert bersama lebih kurang 25 orang pemuzik-pemuzik handalan tanah air. 

Sudah tentu juga sepanjang 40 tahun Anuar Zain mempunyai himpunan lagu hits yang pelbagai. Tentu sahaja lagu seperti Lelaki Ini, Perpisahan, Bila Resah, Sedetik Lebih dan Keabadian Cinta akan menjadi halwa telinga yang bakal disampaikan secara langsung dari lantunan merdu penyanyi hebat ini.

Tiket-tiket akan mula dijual pada 12 Julai 2023 mulai jam 10 pagi di  www.jiotix.asia atau hubungi talian hotline tiket di +6011 510 03 111. Tiket-tiket berharga RM1188  (VIP 1), RM888 (VIP 2), RM488 (Diamond) RM388 (Platinum) dan RM 188 (Gold).

Untuk pembeli tiket pada hari pertama jualan (12 Julai 2023), anda akan berpeluang untuk memenangi telefon bimbit jenama FreeYond. Bagi pembeli tiket VIP 1 & 2 pula, mereka bakal mendapat cenderahati berupa AZ40 Premium Gift Box yang ditaja oleh Arombay, istimewa sempena konsert ini.

Raikan temujanji anda bersama Anuar Zain pada 28 Oktober 2023 jam 8.30 malam sempena  Anuar Zain 40th Anniversary Concert di Stadium Malawati, Shah Alam.

Foto: Amin