KUALA LUMPUR, 10 Jun 2025 – Penyanyi dan pelakon popular Indonesia, Iqbaal Ramadhan bakal menemui peminat Malaysia menerusi konsert sulungnya sebagai solois dengan nama pentas BAALE. Konsert bertajuk BAALE – FORTUNA Live in Kuala Lumpur akan berlangsung pada 15 Jun 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur, bermula jam 8 malam.
Nama Iqbaal Ramadhan mula meniti di bibir peminat sejak era boyband Coboy Junior yang ditubuhkan pada tahun 2011, sebelum mengukir kejayaan besar dalam dunia lakonan, khususnya menerusi watak ikonik Dilan dalam filem “Dilan 1990”. Namun, ramai yang barangkali terlupa bahawa Iqbaal juga merupakan seorang pemuzik berbakat besar.

Pada tahun 2024, beliau tampil dengan identiti baharu sebagai BAALE, sebuah projek muzik solo berteraskan genre Britpop. Nama BAALE membawa makna mendalam bagi Iqbaal, sebagai lambang karyanya yang bersifat jujur, bebas dan penuh ekspresi peribadi.
Album sulung BAALE yang berjudul FORTUNA telah dilancarkan pada Mei 2024, memuatkan 11 lagu yang menyelami tema nasib, masa muda, kesepian dan harapan. Album ini diterbitkan dengan sentuhan penerbit terkenal, Hendra Jayaputra, dan mendapat sambutan positif dari peminat dan pengkritik muzik.
Kini, peminat BAALE di Malaysia bakal merasai pengalaman eksklusif menyaksikan persembahan secara langsung buat julung kalinya menerusi BAALE – FORTUNA Live in Kuala Lumpur.
Menurut wakil penganjur, Miebird Projects, kehadiran BAALE ke Malaysia adalah momen yang dinanti-nantikan ramai.
“Kami Miebird Projects berbesar hati membawa BAALE ke Kuala Lumpur dan mempersembahkan album FORTUNA secara langsung kepada peminat. Ini adalah peluang untuk lebih mendekati muzik dan jiwa BAALE,” ujar Idreez. J, wakil Miebird Projects.
Iqbaal turut meluahkan keterujaannya untuk menjayakan konsert tersebut:
“Senang sekali untuk pertama kalinya, bisa datang ke Malaysia sebagai BAALE. Bagi saya, BAALE adalah bentuk paling jujur dari diri saya. Semoga penonton di Malaysia bisa memahami dan merasai perjalanan yang saya ceritakan melalui FORTUNA.”

Tiket konsert kini boleh didapati di laman web www.ilassotickets.com dengan harga seperti berikut:
FORTUNA (Berdiri – Zon Hadapan): RM198 – RM218 MUSIM (Duduk – Bernombor): RM218 MALAM MINGGU (Duduk – Bernombor): RM268 VIP Box (10 pax per box): RM398 (per pax)
Para peminat BAALE diseru agar tidak melepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam penuh magis ini yang dijangka mencipta nostalgia indah bersama sang pemilik suara FORTUNA.
Semoga ada fortuna (nasib baik) buat anda yang hadir pada malam bersejarah itu.