November 2, 2024

KUALA LUMPUR – Setelah 5 tahun, Sutradara terkenal Malaysia, Bade Hj Azmi kembali ke kerusi pengarahan untuk filem terbaharunya bertajuk “ULEK MAYANG”. 

Filem ini diterbitkan hasil kerjasama syarikat produksi Langit Terang Productions Sdn Bhd bersama Valus Vision International Film Distribution, iaitu sebuah jenama di bawah syarikat Valus PLT sebagai Penerbit Eksekutif dan Pengedar Antarabangsa di bawah Central City Media yang berpusat di United Kingdom. 

Filem “ULEK MAYANG” berkisar tentang kisah percintaan antara dua dimensi di antara Mayang dan Awang yang diinspirasikan dari lagu dan tarian tradisional Terengganu, iaitu “Ulek Mayang”.  Filem ber-genre Seram dan Cinta ini akan menggabungkan penceritaan yang menarik dengan sentuhan moden dan meneroka tema cinta, identiti dan ‘spiritual’ dengan visual yang menakjubkan, bersama lagu latar yang mengasyikkan untuk membawa penonton ke dunia lagenda yang mengagumkan, sekaligus memberi pengalaman sinematik yang tidak dapat dilupakan.

Melalui filem “ULEK MAYANG” ini kami ingin mempamerkan kekayaan dan kepelbagaian budaya Terengganu dengan membawa cerita rakyat “Ulek Mayang” yang mempersonakan ke layar perak. Kami juga berhasrat untuk meraikan pelbagai tradisi, adat resam dan cerita yang membentuk fabrik masyarakat kita, dan menarik perhatian penonton tempatan dan antarabangsa. 

Melalui projek ini juga kami dapat menyediakan platform bagi bakat tempatan untuk berkarya, iaitu bagi pelakon, pengarah, dan krew-krew produksi, untuk mempamerkan kemahiran mereka dan menyumbang kepada pertumbuhan industri filem Malaysia.  Kami percaya dalam memupuk dan memperkasakan bakat baru muncul, filem ini akan menjadi bukti kebolehan kreatif professional industri filem tempatan kita.  

Kami akan mengadakan sessi ujibakat pada tarikh yang akan diumumkan.  Ini akan menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baharu. Pencarian bakat baru ini akan diumumkan di Instagram dan TikTok handle ulekmayang_themovie.

Kami percaya medium filem mampu menjadi satu alat yang penting untuk bercerita dan memelihara budaya, yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mendidik dan menggalakkan penonton tempatan dan luar negara  mengapresiasi budaya tradisional yang semakin dilupakan ini. 

Sasaran kami adalah untuk menarik penonton daripada pelbagai latar belakang, memupuk rasa perpaduan dan penghargaan terhadap sulaman budaya Terengganu dan Malaysia yang kaya.  Dengan memaparkan keindahan rantau ini, kami berharap dapat mempromosikan pelancongan dan pertukaran budaya, menggalakkan para pelancong menerokai landskap dan tradisi yang menakjubkan yang telah menjadi sumber ilham sebuah lagenda. 

Kami percaya filem “ULEK MAYANG” ini berdaya meletakkan seni rakyat Terengganu dan Malaysia di peta global sebagai sumber cerita menarik yang telah lama menunggu untuk ditemui.  

Kami merancang filem “ULEK MAYANG” ini bukan sahaja ditayang di pawagam-pawagam serata Asia Tenggara, tapi juga ditayangkan di platform-platform digital di seluruh dunia.