KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik berasal daripada Indonesia yang dikenali sebagai D’Bagindas sebelum merubah nama kepada Bagindas tetap bertahan sehingga kini meskipun ahli kumpulannya sering bertukar ganti.
Pernah popular menerusi lagu C.I.N.T.A, Bagindas berasa antusias apabila diundang untuk mengadakan sebuah konsert sulungnya di Zepp Kuala Lumpur, 30 November ini. Bagindas yakin dapat menarik peminatnya untuk menyaksikan persembahan hebat dengan beberapa pembaharuan dari segi arragment muzik yang bakal ditampilkan pada konsertnya itu nanti.
Menurut Wendy selaku pemain bass Bagindas, “Kita sering melakukan inovasi atau pembaharuan, jika nanti di konsert Bagindas yang bakal diadakan ini dapat dilihat bagaimana ramuan muzik Bagindas terus berkembang dan mengikuti aliran zaman”, katanya.
Pendapat Wendy juga dipersetujui oleh Andra selaku vokalis utama Bagindas yang mana mereka perlu mengikuti aliran perkembangan muzik zaman sekarang jika mereka ingin terus bertahan dalam industri muzik.
“Kami bisa bertahan kerana rasa penasaran (ingin tahu) kami terhadap trend muzik sekarang yang tidak bisa diramal. Hari ini trend muziknya begini bulan depan trend muziknya begitu, kadang-kadang kami dalam industri muzik ini agak bingung dan harus ke mana kita ini kerana muzik yang ini bagus, muzik yang itu juga bagus tapi kita harus cuba saja untuk pengemar muzik menikmati muzik kami,” jelas Andra ketika ditemu bual pada sidang media sempena konsert Bagindas di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.
Kemunculan kumpulan Bagindas pada konsert Kangen Band yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 2 September lalu mendapat maklum balas positif dalam kalangan peminat
Ibarat bulan jatuh ke riba, peminat setia kumpulan yang berasal dari Indonesia ini bakal menggegarkan peminat tanah air dengan deretan lagu hits mereka menerusi Konsert Bagindas Live In Kuala Lumpur: Suka Sama Kamu yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, jam 8 malam, pada 30 November 2023.
Bagindas yang dianggotai empat anggota kumpulan iaitu Andra, Wendy, Fery dan Ragil itu bakal membawakan sesuatu yang cukup istimewa dan eksklusif buat seluruh peminat setia.
Menurut penganjur, Purosangue Entertainment, konsert Konsert Bagindas Live In Kuala Lumpur: Suka Sama Kamu itu bakal mencetuskan satu lagi fenomena.
“Band Bagindas bukanlah asing dalam kalangan pencinta muzik tanah air. Kebanyakan lagu-lagu mereka cukup melekat dan menjadi pujaan peminat di kedua-dua negara.
“Jadi, melihatkan sambutan dan sokongan padu yang diberikan kepada Bagindas membuatkan kami cukup yakin untuk menganjurkan konsert ini. Berbekalkan kredibiliti yang dimiliki Bagindas, mereka mampu menghiburkan peminat kerana kami percaya kumpulan ini mempunyai pengikut tegar di sini,” katanya.
Sementara itu, mewakili Bagindas, Andra berkata, Malaysia sentiasa menjadi pentas yang dinanti-nantikan untuk mereka mengadakan konsert.
“Selama ini kami sentiasa menunggu peluang untuk mengadakan konsert sulung di Malaysia. Kami sering menerima permintaan daripada peminat yang mahu kami datang ke Malaysia untuk membuat konsert.
“Kami menganggap tahun ini adalah waktu yang tepat dan rezeki untuk kami bertemu dengan peminat Bagindas,” katanya.
Sesuatu yang cukup istimewa juga apabila pada Konsert Bagindas Live In Kuala Lumpur: Suka Sama Kamu ini apabila Bagindas bakal mempersembahkan kelainan dari segi muzik menerusi kolaborasi bersama DJ Rycko Ria.
Gabungan muzik campuran semula atau remix daripada Bagindas X DJ Rycko Ria pastinya sesuatu yang cukup dinanti dan mengujakan kerana ia bertepatan dengan cita rasa pendengar masa kini.
Tiket untuk menyaksikan Konsert Bagindas Live In Kuala Lumpur: Suka Sama Kamu dijual pada harga RM3600 (VIP Box); RM200 dan RM225 (Seating Price); RM179 (Normal Standing Ticket Price); RM139 (Early Bird Standing Price).
Pembelian tiket akan bermula hari ini di laman web www.purosangue.live.