Bakat Gitar Tempatan Bersinar di Pentas Akhir Terpaling Solo Contest

KUALA LUMPUR, 17 Mei 2025 — Pertandingan Terpaling Solo Contest anjuran CK Music dengan kerjasama Epiphone Malaysia melabuhkan tirainya hari ini menerusi acara kemuncak yang berlangsung penuh meriah di CK Music Showroom, Kuala Lumpur, selepas lebih tiga minggu pencarian bakat dijalankan secara terbuka di media sosial.

Bermula dari 14 April hingga 5 Mei 2025, pertandingan ini telah menarik lebih 50 penyertaan dari seluruh negara, termasuk peserta dari sejauh Sabah dan Pulau Pinang. Setiap peserta dikehendaki memuat naik video solo gitar mereka menggunakan lagu instrumental “Terpaling” ciptaan maestro gitar tanah air, Edrie Hashim, sambil menandai akaun rasmi CK Music di media sosial.

Daripada jumlah penyertaan yang diterima, seramai 11 peserta terbaik telah dipilih untuk mara ke pentas akhir Final Showdown, yang diadili secara langsung oleh Edrie Hashim sendiri selaku juri utama. Pertandingan ini bukan sahaja bertujuan meraikan bakat pemain gitar tempatan, malah turut mengetengahkan CK Music sebagai salah satu pengedar rasmi utama jenama Epiphone di Malaysia.

Dari kiri: wakil Epiphone Malaysia, Jonathan Mah, Edrie Hashim dan wakil CK Music, Francis Khor

Menurut wakil CK Music, pertandingan ini merupakan satu platform untuk meraikan komuniti pemain gitar tempatan yang semakin berkembang serta memberi peluang kepada mereka untuk menonjolkan bakat. Keunikan pertandingan ini terletak pada keterbukaannya yang menerima peserta daripada pelbagai latar belakang, umur dan genre muzik. Semangat yang ditunjukkan oleh para peserta, termasuk mereka yang sanggup hadir dari lokasi jauh, jelas membuktikan bahawa minat terhadap muzik gitar masih kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

Edrie Hashim turut melahirkan rasa kagum terhadap tahap persembahan peserta yang menyertai pertandingan kali ini. Beliau menyifatkan ramai gitaris tempatan mempunyai potensi besar dan menunjukkan kualiti yang membanggakan.

Gelaran juara telah dimenangi oleh Izzwan Bin Nik Nizam, yang membawa pulang hadiah utama berupa gitar Epiphone Les Paul Modern bernilai RM3,000. Tempat kedua menjadi milik Daniel Sabirin, diikuti Sharuddin Lingkatan di tempat ketiga. Kyoji Sky dan Khairuddin Ismail pula masing-masing berada di kedudukan keempat dan kelima, dan turut menerima hadiah sumbangan daripada CK Music dan Epiphone Malaysia.

Izzwan (dua dari kanan) muncul sebagai juara dan membawa pulang hadiah utama berupa gitar Epiphone Les Paul Modern

Kesemua finalis turut menerima peluang eksklusif untuk mendapat maklum balas secara langsung daripada Edrie Hashim, menjadikan pertandingan ini sebagai pengalaman yang amat berharga untuk pembangunan bakat mereka. Kos penyertaan yang rendah, iaitu hanya perlu memuat turun lagu, merakam video dengan telefon bimbit dan menghantar penyertaan, dilihat sebagai faktor yang menggalakkan penglibatan lebih ramai peminat gitar.

Dalam perkembangan berkaitan, Edrie turut berkongsi hasrat dan visinya untuk membina satu platform perpaduan dalam kalangan pemuzik tempatan, seiring impiannya mewujudkan inisiatif seperti Favourite Nation yang diasaskan oleh Steve Vai. Menurut beliau, usaha membangunkan industri muzik perlu dilakukan secara kolektif, dengan menyatukan tenaga dan bakat semua pihak.

Edrie Hashim

“Untuk mencapai matlamat ini, kita perlu bersatu. Tanpa penyatuan, usaha kita akan terhad,” tegas beliau sambil menyeru agar pemuzik tidak terjebak dalam persaingan tidak sihat. Beliau turut merancang untuk membangunkan sebuah platform khas yang dapat membantu pemuzik pemula dan pertengahan memulakan kerjaya muzik mereka melalui bimbingan yang tepat.

Dengan sokongan lebih banyak kedai muzik dan komuniti seni, Edrie yakin bahawa industri muzik tanah air mampu diperkasa semula dan membuka lebih banyak peluang kepada bakat-bakat baharu.

Berikut merupakan senarai 11 finalis Terpaling Solo Contest 2025:

  • Izaidin Hassan

  • Khairudin Ismail

  • Muhammad Hanafi

  • Kyoji Sky

  • Daniel Sabirin

  • Azwan bin Abdul Aziz

  • Sharuddin Lingkatan

  • Izzwan Bin Nik Nizam

  • Nabil Bin Adam

  • Mohd Nor Sham

  • Azlan Ahmad

Pertandingan ini dilihat sebagai langkah awal yang positif dalam merancakkan kembali industri gitar tanah air serta membuka ruang lebih luas untuk penemuan dan pembinaan bakat baharu pada masa akan datang.

Kredit Foto: Papa Din