
KUALA LUMPUR : Kehadiran band tersohor Indonesia Dewa 19 menebus rindu sekitar hampir 9,000 Baladewa dan baladewi (panggilan bagi peminat) di Konsert Jelajah Ulang Tahun ke-30 Tahun Dewa 19 yang berlangsung di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil, kelmarin.
Kehadiran Dewa 19 kali ini ibarat bonus kepada peminat kerana di atas pentas yang sama, mereka berpeluang menyaksikan persembahan band pujaan bersama lima vokalis hebat Ahmad Dhani, Virzha, Once Mekel, Ari Lasso dan Marcello Tahitoe (Ello).
Biarpun hujan sebelum pintu masuk konsert dibuka, namun peminat tetap bersemangat untuk menonton kehebatan persembahan kumpulan dari Indonesia tersebut setelah lebih dua tahun tidak ke Malaysia.
Sebanyak 35 lagu dibahagikan kepada kelima-lima penyanyi dan setiap mereka mempersembahkan nyanyian mengikut sesi yang telah disusun. Setiap vokalis mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri.
Gandingan Ello dan Virzha sebagai pembuka majlis menjadikan peminat begitu teruja mendengar suara mereka berdua secara live dan keputusan yang tepat apabila Dewa 19 memilih Ello dan Virzha untuk mengisi kekosongan vokalis Dewa 19 yang sebelum ini diterajui Once Mekel.

Kemudian, pendokong utama Dewa 19, Ahmad Dhani yang merupakan pemain keyboard mengambil tempat dengan menyumbangkan suaranya menerusi lagu hit, Cinta Gila secara solo. Malah dia turut berduet dengan Virzha menerusi lagu Hadapi Dengan Senyuman dan Angin.
Ternyata suami kepada Mulan Jameela itu terharu dengan sokongan yang diberikan oleh peminat di Malaysia.
“Malaysia apa khanbar. Senang sekali Dewa dapat datang ke Malaysia. Beza dengan Indonesia, ramai bangat. Kita akan nyanyikan 35 lagu. Jadi untuk yang belum minat dan mengenali Dewa harap sabar. Anda tunggu hingga habis konsert,” katanya dihadapan ribuan peminat Dewa 19.
Selain lagu yang disampaikan oleh Ahmad Dhani untuk segmen pertama, peminat dihiburkan dengan lagu nyanyian dari Ello dan Virzha antaranya Restoe Boemi, I want to break free, Juliette, Aspirasi putih, Tak kan ada cinta yang lain, Bayang-bayang dan Careless whisper.

Sebelum masuk ke segmen seterusnya, pemegang tiket berdiri mengambil peluang duduk seketika setelah penat berdiri dan menari, namun masing-masing bingkas bangun apabila kemunculan Once di atas pentas menyampaikan lagu pertamanya Roman picisan.
Arjuna, Perempuan Paling Cantik Di Negeriku Indonesia dan Dewi adalah lagu seterusnya, dendangan Once. Sudah tentu peminat ‘sing along’ kerana lagu yang didendangkan amat dekat dengan pendengar.
“Tanpa anda semua, kami bukan apa-apa. Terima kasih Malaysia,” kata Once ringkas. Dia menjelaskan visual pergelangan tangan simbolik ‘bertepuk sebelah tangan’ yang merupakan bait lirik lagu seterusnya berjudul Pupus.

Sudah tentu Ari Lasso yang baru sahaja pulih bebas daripada kanser Limfoma memberikan persembahan yang terbaik menerusi beberapa lagu antaranya Cinta kan membawamu kembali, Elang, Aku disini, Satu hati dan Cukup Siti Nurbaya.
Kehadiran Dewa 19 di Malaysia untuk menjayakan dua malam persembahan (9 dan 10 September) yang dibawakan oleh Icon Entertainment itu turut disertai bekas pemain dram, Tyo Nugros.

Konsert yang menampilkan slogan ‘30 Tahun, 30 Kota, 30 Lagu’ memang berbaloi kepada seluruh Baladewa yang hadir kerana aura anggota Dewa 19 tetap unggul.
Konsert melabuhkan tirai kira-kira pukul 12 tengah malam dengan lagu Separuh Nafas yang dinyanyikan oleh Ari Lasso, Once, Virzha dan Ello.
Ternyata setiap penonton berpuas hati dengan persembahan yang disajikan oleh Dewa 19 dengan menyampaikan 35 lagu dan setiap satu lagu dinyanyikan dengan penuh bertenaga. Rata-rata penonton yang hadir, pulang dengan senyuman dan memori yang tidak dapat dilupakan.

