July 19, 2024

Pengarah filem Walid, Areel Abu Bakar meluahkan rasa bangganya apabila filem terbaharu arahannya, Walid dapat menembusi pasaran filem antarabangsa.

Areel berkata, sebagai anak Malaysia, pastinya dia teruja apabila ada pihak di Amerika Syarikat berminat untuk membawa masuk filem berkenaan ke negara tersebut.

“Bagi saya ini merupakan langkah awal untuk filem tempatan tembusi pasaran luar. Apapun saya gembira sebagai anak Malaysia yang mampu menembusi pasaran filem antarabangsa seperti Amerika Syarikat.

“Kita sedia maklum yang prosedur untuk melayakkan kita membuat tayangan filem di sana bukan mudah kerana sudah pasti mereka lebih teliti dengan melihat dari segi kualiti dan isi kandungan sesebuah filem itu. Memang tidak pelik kalau orang kita selalu tertanya-tanya kenapa filem kita susah sangat nak tayang di sana,” ujarnya.

Areel berkata, dia juga tidak menafikan filem arahannya sebelum ini iaitu Geran yang menerima anugerah ‘Daniel A.CraH Award’ di Festival Filem Asia New York (NYAFF) Ke-19 dua tahun lalu antara faktor naskhah baharunya itu mendapat perhatian.

Salah satu adegan di dalam filem Walid

Ujarnya, filem Walid ini bukan sekadar filem aksi semata-mata, malah mengangkat isu kemanusiaan dan kenegaraan dengan menerapkan elemen silat yang merupakan warisan budaya sebagai ‘ramuan’ utama.

Dalam pada itu, Areel turut memaklumkan dia akan berangkat ke Amerika Syarikat pada 24 Julai ini dan akan berada selama hampir sebulan di sana.

“Saya akan berada agak lama di Amerika Syarikat memandangkan Walid akan ditayangkan di dua buah negeri iaitu Los Angeles dan New York.

“Selain tayangan filem, akan ada juga sesi diskusi dan soal jawab mengenai filem Walid. Namun ia semua bergantung dengan pengurusan pihak pawagam di sana,” ujarnya.

Walid menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Megat Sharizal, Namron, Fad Annuar, Fieyna Tajudin, Puteri Qaseh, Shamputra, Yusran Hasim dan ramai lagi.

Mengangkat kisah penculikan kanak-kanak membabitkan sindiket pemerdagangan manusia, filem Walid akan ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia pada 14 September 2023.