January 15, 2025

KOTA BHARU, 6 Disember 2024 – Team Serantau Muslim (SM) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan berjaya menyampaikan bantuan banjir terus ke kampung-kampung yang terputus hubungan akibat banjir besar yang melanda negeri ini, semalam.

Antara kawasan yang menerima bantuan ialah Kampung Jejulok, Tumpat, di mana paras air dilaporkan mencecah pinggang. Usaha ini membuktikan komitmen tinggi pihak terbabit untuk memastikan bantuan sampai kepada mangsa yang memerlukan.

Bantuan yang disalurkan termasuk kit kebersihan diri, toto, dan makanan sedia dimakan (ready-to-eat). Menurut Kapten Bersekutu (PA) Hj. Idzham Hadi Sidik, operasi pengagihan berjalan lancar dengan sokongan penuh daripada APM Tumpat.

Kapten Bersekutu (PA) Hj. Idzham Hadi Sidik

“Alhamdulillah, usaha ini sedikit sebanyak dapat meringankan penderitaan mangsa banjir. Terima kasih tidak terhingga kepada semua penyumbang atas sokongan yang diberikan. Semoga usaha ini membawa kebaikan dan keberkatan,” katanya.

Rata-rata penerima bantuan melahirkan rasa syukur dan terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang terus bersatu hati membantu mangsa banjir. Team SM mengakui bahawa sokongan berterusan daripada orang ramai adalah sumber kekuatan dalam melaksanakan misi kemanusiaan ini.

Dengan usaha bersepadu seperti ini, diharapkan lebih banyak bantuan dapat disalurkan bagi meringankan beban mangsa banjir yang terkesan.