KUALA LUMPUR, 24 April 2025 – Sempena pelancaran album sulung mereka Peluru Cokelat pada 9 November tahun lalu, kumpulan rock BARBARIK bakal mengadakan konsert istimewa bertajuk BARBARIK Pentas Peluru Cokelat pada 28 Jun 2025, jam 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert ini menjadi detik bersejarah buat kumpulan yang dianggotai oleh Muss (vokalis), JoBranko (gitar), Rozaimi (bass) dan Ainol (dram), kerana buat pertama kalinya mereka akan mempersembahkan lagu-lagu daripada album ciptaan mereka sendiri.
“Jika sebelum ini kami banyak membawakan lagu-lagu daripada zaman Muss bersama Wings, kali ini kami tampil dengan karya asli yang mencerminkan identiti BARBARIK,” kata JoBranko, selaku gitaris dan penerbit muzik kumpulan itu.

Konsert yang dianjurkan oleh Karri Talk Production bersama Pentas Barbarik Sdn. Bhd. ini dijangka berlangsung selama dua jam dengan sekitar 20 buah lagu termasuk material baharu dan lagu-lagu yang pernah dipersembahkan sebelum ini.
“Kami jamin konsert ini akan menguji adrenalin para penonton dari awal hingga akhir. Setiap segmen persembahan akan mempunyai elemen kejutan yang tersendiri,” tambah JoBranko.
Peluru Cokelat: Tanda Komitmen Serius
Album Peluru Cokelat yang mula dirakam pada Mac 2024 dan siap dalam tempoh enam bulan memuatkan tujuh buah lagu antaranya Peluru Cokelat, Golok Kayu (menampilkan Karl Cromok), Didakap Pesona, Kasmaran Selamanya, Nasib Baik, Marcapada, dan Gelap Nan Terang (instrumental). Turut disertakan ialah versi radio edit bagi lagu Didakap Pesona.
Lagu utama, Peluru Cokelat, hasil ciptaan JoBranko dengan lirik oleh penulis prolifik Nasir Jani, dipilih sebagai lagu tema album kerana menggambarkan semangat zaman serta menyentuh isu kemanusiaan sejagat, termasuk konflik di Palestin.
Kesemua lagu adalah hasil ciptaan JoBranko, manakala barisan penulis lirik terdiri daripada Nasir Jani, Muss, Bambino, Nuar Botak dan JoBranko sendiri. Proses mastering pula dijalankan oleh Don Bartley di Benchmark Mastering, Brisbane, Australia.
Album ini turut menampilkan pemuzik undangan seperti Karl Cromok (gitar) dan Adi Yamin (keyboard).
“Kerja Gila” Empat Format
Menariknya, Peluru Cokelat dilancarkan dalam empat format berbeza – cakera padat (CD), piring hitam (vinyl), kad USB dan format digital yang dihantar terus ke emel pembeli.

“Kami tahu ini sesuatu yang luar biasa. Di zaman digital ini, hampir tiada lagi artis yang mengeluarkan album fizikal. Tetapi permintaan daripada peminat yang merupakan pengumpul tegar sangat menggalakkan,” ujar JoBranko.
Album ini boleh didapati menerusi laman web rasmi serta kedai rasmi mereka di Shopee, Pentas Barbarik Store.
Latar Belakang BARBARIK
Nama BARBARIK diinspirasikan daripada album studio kesembilan Wings, Mr. Barbarik, yang diterbitkan pada tahun 2000 dan menampilkan Muss sebagai vokalis. Album itu turut dihasilkan oleh JoBranko dan dianggap antara yang terbaik era tersebut.

Konsep BARBARIK bukanlah sekadar nama baharu, tetapi kesinambungan legasi dua ikon rock tanah air – Muss dan JoBranko – yang telah lebih empat dekad mewarnai industri muzik Malaysia. Bersama Rozaimi dan Ainol, mereka membentuk sebuah band yang membawa semangat rock era 1980-an dan 1990-an dengan nafas moden.
Nama BARBARIK itu sendiri berasal daripada figura epik Mahabharata – seorang satria bernama Barbarik yang memiliki tiga anak panah sakti, melambangkan kekuatan dan perjuangan demi kesejahteraan.
Konsert BARBARIK Pentas Peluru Cokelat dijangka menjadi antara persembahan rock paling dinantikan tahun ini, dan menandakan fasa baharu buat kumpulan BARBARIK dalam arena muzik arus perdana.
