December 4, 2024

KUALA LUMPUR : Selepas 22 tahun peminat rock tempatan berasa lega apabila kerinduan mereka terubat dengan sajian yang ditampilkan oleh ikon rock tersohor, Joe Branko bersama penyanyi, Muss bergabung di konsert Barbarik – Pentas keras yang berlangsung selama dua jam setengah di Zepp Kuala Lumpur, 24 Disember yang lalu.

Lebih 2500 peminat tegar muzik rock tempatan telah hadir ke konsert Barbarik – Pentas Keras bagi menyaksikan persembahan mereka yang penuh energi serta padat dengan momento buat peminat yang dahagakan nuansa rock sebenar.

Gabungan Muss dan Joe yang lama dinantikan peminat

Tirai konsert dibuka tepat jam 8.30 malam dengan monolog yang seakan menyuntik antusias peminat yang sudah lama menanti kemunculan mereka. Tanpa banyak bicara Muss, Joe Branko, Ainoll, Adi Yamin dan Rozaimie terus menghambur segala kekuatan menerusi 5 buah lagu yang tiada noktah bermula dengan lagu Penunggu (Sweet Charity), Wayang Sulit, Julang Timur Tengah, Enigma dan Delilah.

Muss dalam ucapannya bersyukur apabila konsert yang dirancang sekian lama itu dapat direalisasikan.

“Alhamdulilah, saya masih dikurniakan tenaga dan apa yang ingin kami sampaikan malam ini adalah untuk kepuasan anda semua.

Konsert malam ini sebenarnya telah lama kami rancang dan hanya menunggu masa yang sesuai selepas kekangan Covid19. Saya harap anda semua datang untuk menyaksikan sebuah persembahan yang ditunggu-tunggu sekian lama dan akan menjadi sebahagian dari sejarah ini.” Katanya.

Muss membuka tirai dengan mendendangkan lima buah lagu penuh tanpa henti
Aksi Joe Branko memukau peminat

Peminat terus terpaku dengan kemantapan vokal penyanyi berusia 54 tahun itu ketika meneruskan perjalanan konsert dengan mempersembahkan lagu Biru Mata Hitamku, Hati Sulam Lain, 18000 Sayap dan Gegar Gunung Gemora. 

Kemunculan Mael XPDC disambut sorakan gemuruh peminat. Pemilik nama sebenar, Syed Ismail Syed Ibrahim itu mencetuskan fenomena apabila bergabung suara dengan Muss membawakan Nasib Kita.

Mael dalam sidang media sejurus konsert membuka rahsia yang mana lagu itu tidak pernah didendangkan di mana-mana persembahan secara live selama 22 tahun dan beliau menganggap ini adalah malam bersejarah buatnya.

“Buat pertama kali saya menyanyikan lagu ini secara live di atas pentas setelah lebih 20 tahun saya merakamkan lagu tersebut, lebih istimewa saya dapat beraksi bersama Joe. Lagu ini terdapat dalam sebuah album projek dimana Joe Branko adalah penerbitnya”, kata Mael.

Sejarah buat Mael kerana pertama kali mendendangkan Nasib Kita bersama Muss secara live

Keghairahan peminat memuncak pada saat Muss meneruskan nyanyian solo, Bukan Kerana Matahari sebelum Asheed Def Gab C yang mempunyai keunikan vokalnya tersendiri tampil di pentas menerusi lagu duet berjudul Singa dan Harimau.

“Meskipun saya hanya tampil dengan sebuah lagu dalam konsert ini, namun ianya punya cerita tersendiri yang telah lama kami (Joe Branko) simpan. Hari ini saya luahkan melalui konsert yang cukup bermakna”, ujar Asheed.

Asheed Def Gab C tampil dengan lagu Singa Dan harimau

Kemunculan bekas vokalis kumpulan Wings, Mel turut dinantikan peminat yang sekian lama menanti penyanyi itu beraksi dalam sebuah konsert mega. Dia menyengat dengan lagu Sapu Tangan.

Mel pernah mengisi kekosongan posisi vokal kumpulan Wings sebelum beliau meninggalkan kumpulan itu sekitar tahun 1995 dan seterusnya posisi itu diambil oleh Muss. Impian peminat untuk menyaksikan dua vokalis hebat, Muss dan Mel bergabung atas pentas tercapai apabila mereka mempersembahkan Semalam Yang Hangat secara duet.

Mel turut diundang dengan menyampaikan 2 buah lagu

Lampu sorot di pentas tertumpu ke arah sosok persis Lemmy Kilmister, Motorhead, iaitu Joe Branko yang menterjemahkan setiap kata berselang dengan rasa menerusi petikan gitarnya Gelap Nan Terang secara instrumental.

Pecutan akhir konsert itu menyaksikan Muss ‘menggila’ dengan persembahan Teater Mahamega, Blues Ular Sawa dan Padam Lampu Tidurmu.

“Terima kasih kepada anda yang datang, membeli tiket, isi minyak, bayar tol dan tempat letak kereta semata-mata untuk menyokong kami.” Ujar Muss sebelum mengakhiri nokhtah persembahan dengan lagu berhantu, Keris Tak Ada Sarung.

Joe gembira kerana konsert ini dapat direalisasikan

Konsert itu diiringi pemuzik hebat seperti Ainoll (dram), Adi Yamin (keyboard) dan Rozaimie (bass).

Konsert anjuran Anggerik Event berjaya mengubati rasa kerinduan peminat setelah 22 tahun menanti untuk menyaksikan konsert seumpama ini.

Sidang Media Konsert Barbarik Pentas Keras bersama Joe, Muss, Mael dan Asheed