KUALA LUMPUR, 10 JUN 2025 – Penyanyi baharu, Syed Iqbal, secara rasmi memulakan langkah pertamanya dalam industri muzik dengan menandatangani kontrak bersama label berteras keislaman, Masyhur, milik Universal Music Malaysia. Pelancaran lagu debutnya, “Basstamam”, bukan sahaja menandakan permulaan perjalanan seni beliau, malah turut mencetus fenomena awal di media sosial.
Mengusung tema ketenangan dan kebahagiaan dalam menghadapi tekanan hidup, “Basstamam” tampil sebagai karya yang sarat dengan emosi dan mesej positif. Lagu ini merupakan hasil ciptaan Amir Hufaz dan Wan Saleh, manakala liriknya pula ditulis oleh Abdulkarim Al Ali dan Wan Saleh. Judul lagu yang membawa maksud ‘ketenangan mutlak’ ini mengajak pendengar untuk menghargai detik-detik damai bersama insan tersayang.
Menurut Syed Iqbal, walaupun beliau sedikit gementar pada awalnya, proses rakaman berjalan lancar. “Mula-mula saya takut kalau ada tekanan sewaktu rakaman, tapi lama-kelamaan saya dapat catch up dan berasa sangat gembira. Paling membanggakan, saya hanya perlukan dua jam sahaja untuk siapkan rakaman lagu ini,” jelasnya.

Susunan muzik yang tenang dan menenangkan jiwa hasil sentuhan Wan Saleh serta penerbitan bersama Amir Hufaz, menjadikan “Basstamam” sesuai didengar sewaktu bersantai atau ketika mencari ketenangan.
“Harapan saya agar para pendengar dapat benar-benar merasai maksud ‘basstamam’ dalam hati mereka. Kita semua perlukan ruang untuk bertenang, dan saya harap lagu ini mampu menjadi peneman jiwa yang sedang diuji,” kata Syed Iqbal penuh harapan.
Video muzik rasmi “Basstamam” turut menjalani penggambaran mencabar di kawasan berbukit, menggambarkan perjalanan jiwa mencari ketenangan. “Kami perlu panjat bukit dan shooting dari pagi sampai ke petang. Tapi dengan pasukan yang sangat supportive, saya berasa sangat bersemangat untuk menjayakan MV ini,” katanya.
Lagu ini mendapat sambutan hangat lebih awal apabila menjadi tular di TikTok dan Instagram, mencatatkan lebih 20,000 ciptaan di TikTok dan lebih 2,000 di Instagram. Antara trend yang muncul secara organik ialah ‘Wahai Bulan Purnama’, di mana pengguna media sosial berkongsi transformasi diri mereka – daripada masa lalu ke versi yang lebih positif dan tenang hari ini.
“Basstamam” kini boleh didapati di semua platform digital sejak 30 Mei lalu, manakala video muzik rasminya boleh ditonton di YouTube rasmi Masyhur.
Dengan mesej mendamaikan dan susunan muzik yang menyentuh hati, lagu ini dijangka terus mendapat tempat dalam kalangan pendengar dari pelbagai latar belakang. Syed Iqbal turut menzahirkan harapannya agar karya ini menjadi penghubung hati yang mencari ketenangan dalam dunia yang penuh cabaran.