Dead Mushroom, kumpulan muzik rock yang masih aktif sejak penubuhannya pada tahun 1995, kini mempersembahkan single terbaru mereka, “Bebas,” hasil kerjasama dengan penyanyi Yazer. Lagu ini merupakan sebahagian daripada projek EP terbaru mereka, yang memuatkan enam lagu, tiga dalam bahasa Melayu dan tiga dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan sepenuhnya oleh Ashraf Aasimudin atau Acap.
“Bebas” menggabungkan elemen rock ballad dengan sentuhan moden, menampilkan vokal mantap daripada Yazer dan Faiz yang memberikan dimensi baru kepada muzik Dead Mushroom. EP ini juga dihasilkan dalam format Dolby Atmos, memberikan pengalaman bunyi yang berbeza dan mendalam kepada pendengar.
Lagu “Bebas” kolaborasi Dead Mushroom bersama Yazer bercerita tentang kebebasan dan perjuangan untuk meraih impian. Liriknya menggambarkan semangat untuk melepaskan diri dari belenggu dan menghadapi tentangan hidup dengan penuh keberanian. Muziknya sendiri memiliki nuansa rock yang kuat oleh Dead Mushroom dan dipadukan dengan vokal Yazer yang energik. Yazer sering tampil dalam genre rock dan pop menjadi pilihan artis solo mahupun berkumpulan untuk berkolaborasi dengannya hinggalah dilamar oleh Dead Mushroom dalam single terbaru yang berjudul “Bebas” ini.

Dead Mushroom pernah tercalon dalam empat kategori Anugerah Industri Muzik 1998, termasuk Artis Baru Terbaik dalam Kumpulan, Album Inggeris Tempatan Terbaik, Album Kejuruteraan Terbaik, dan Video Klip Terbaik. Album pertama mereka, yang dikeluarkan pada tahun 1997 dan diterbitkan oleh Dato Ramli MS, diikuti dengan beberapa album dan EP lain yang turut mendapat perhatian.
Single “Bebas” telah dilancarkan pada 1 Ogos lalu dan boleh didengar di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, dan boleh ditonton di saluran YouTube. EP ini akan dikeluarkan secara berperingkat, dengan setiap lagu dilancarkan satu demi satu.
“Kami sangat teruja dengan pelancaran ‘Bebas’ kerana ia benar-benar menggambarkan jiwa dan semangat kami sebagai kumpulan muzik yang berpengalaman dalam industri muzik. Kerjasama dengan Ashraf dan Yazer memberikan sentuhan unik dan kami yakin peminat boleh menerima pembaharuan hasilnya,” kata Faiz, vokalis Dead Mushroom.