March 21, 2025

Kumpulan muzik rock yang popular dengan lagu Srikandi Di sisi, Belantara, telah mengadakan showcase di Stage One, PJ Performing Arts Centre, Petaling Jaya pada 7 Disember lalu. Ini merupakan edisi keduanya selepas membuat persembahan pada 20 dan 21 Februari 2020 di Damansara Performing Arts Centre (DPac) Theatre, Damansara Perdana.

Sebagai menghargai para peminat yang memberikan sokongan padu dari awal kemunculan mereka dalam persada seni tanah air, Belantara telah mengadakan showcase yang dihadiri oleh 400 orang peminat setianya.

“Itulah catatan takdir yang tertulis untuk kami berada di sini malam ini dan saya rasa amat gembira, bangga dan tersentuh hati dengan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sekalian.” Ucap Zaid selaku vokalis utama Belantara.

Belantara yang ditubuhkan pada tahun 1986 oleh tiga orang pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat pada waktu itu iaitu Zaid dan Shukri dari Washington State University, Pullman serta Aziz dari The University of Idaho. Belantara lebih popular dalam kalangan pelajar-pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di pelbagai institusi pengajian tinggi sekitar Amerika Syarikat dan juga tanah air sekitar akhir 1980-an dan awal 1990-an, kerana mereka lebih mudah memahami pelbagai mesej yang cuba disampaikan oleh Belantara melalui lagu-lagu mereka.

Maka tidak hairanlah peminat yang hadir menyaksikan showcase ini terdiri dari bekas-bekas pelajar yang turut sama menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi sekitar Amerika Syarikat ketika itu. Benarlah bak kata Zaid bahawa peminat Belantara ini ‘lain macam’.

Belantara membuka tirai pentas pada jam 8.30 malam. Belantara dan Dewi memukau pesona dengan intro disamping tayangan visual di layar LED yang cukup mengujakan. Apatah lagi ianya di satukan dengan sosok tubuh ‘Belantara’ yang pasti dirindui Belantarian.

“Belantara di tubuhkan adalah untuk menyatakan expresi kami yang ketika itu jiwanya masih muda dan masih bertenaga. Ini cara kami melepaskannya, meskipun ianya kedengaran macam rebel tetapi semangat cintakan negara masih utuh”, jelas Zaid lagi.

Zaid kelihatan cukup terharu dengan sokongan peminat yang hadir pada malam itu tanpa melengahkan masa bergema irama lagu yang agak keras iaitu Panglima Angkasa dan Bunga Bangsa. Muzik yang dihasilkan memberi makna tersendiri, cukup energi yang boleh membangkitkan semangat anak watan untuk mencintai tanahair.

Belantara juga tidak ketinggalan menghasilkan karya-karya yang berkiblatkan ‘cinta’ antara yang disajikan seperti Mutiara, Airmata, Menari Dalam Hujan, Mereka dan Srikandi Di Sisi pasti menjadi seleksi ‘wajib’ hadiah buat halwa telinga khususnya mereka-mereka yang dahagakan kasih sayang.

Shukri selaku bassis men’terjemah’kan Negara Mu Yang Utama di persembahkan dengan penuh penghayatan. Pelangi dan Nafiri, Lautan Cahaya dan Perintah Berkurung kemudiannya berkumandang. Konsistensi Belantara terus di perkukuhkan meskipun jelas kelihatan Zaid yang sedikit ‘pancit’ berkemungkinan disebabkan atas faktor usia. Bagi peminat, Belantara adalah sebuah kumpulan muzik yang lejen dan langka kerana jarang sekali berita mereka muncul di media apatah lagi persembahan pentas yang boleh dibilang dengan jari.

Selain lagu-lagu hits, Belantara juga mempersembahkan menerusi lagu seperti Jentera Pemusnah, Destinasi Infiniti, Sutra, Jebat dan Bunga Matahari. Sebanyak 18 buah lagu pastinya menjadi ‘ubat’ sementara peminat Belantara yang rata-rata sudah berusia lebih 40an.

Selain vokalis, Zaid, Belantara dianggotai oleh Shukri (gitar bass), Aziz (gitar) dibantu oleh Ijat (gitar), Haziq (drum) dan Riza (kibordis) ‘otai’ yang banyak pengalaman sementelah bersama kumpulannya Touch malah pernah hadir dengan sebuah album berjudul ‘Cahaya’.

Tidak hairanlah mengapa ramai peminat menyifatkan muzik mereka lebih segar dan berbeza. Mereka juga dihormati kerana menerbitkan sendiri setiap album selain mencipta sendiri lagu dan lirik berbanding kebanyakan kumpulan rock era itu.

Untuk rekod Belantara pernah dianggotai Nen (dram) dan Shidi (gitar) pada 1988 serta Benson (gitar) pada 1990. Lebih menarik, ‘showcase’ ini adalah anjuran peminat mereka sendiri yang ingin melihat Belantara sukses.