March 21, 2025

Konsert Tujuh Vibrato Gitar telah menjadi satu sejarah baharu dalam industri muzik tanah air. Gabungan tujuh pemain gitar handal bertempur di atas satu pentas dengan satu matlamat untuk mempertabatkan lagi darjat pemuzik khususnya pemain gitar ke persada yang lebih tinggi.

Konsert yang telah berlangsung pada 3 November lalu disaksikan hampir 2,000 peminat yang hadir di Zepp Kuala Lumpur yang sentiasa menyokong perjuangan Jo Branko, Man Keedal, Kid Search, Shah Slam, Jemboo Def Gab C serta dua pemain gitar muda Muzza dan Anis Kalisa. Konsert pada malam itu dihangatkan lagi dengan penampilan penyanyi rock Muss, Hattan dan Lan Solo serta diiringi oleh kumpulan Barbarik yang dibarisi oleh Adi Yamin (kibod), Rozaimie (bes) dan Ainol (dram).

Dianjurkan oleh oleh Big Stage Entertainment Channel dan Anggerik Event Sdn Bhd sebagai Penganjur Bersama, menjadikan konsert ini berbeza dengan siri konsert yang pernah diadakan sebelum ini.

Jo Branko sebagai ‘mastermind’ seharusnya diberi pujian dalam merialisasikan konsert Tujuh Vibrato Gitar ini. Dalam waktu yang sama dia kehilangan orang yang tersayang namun Jo sanggup menyelimuti kesedihannya dengan memberikan persembahan yang terbaik buat peminat yang hadir pada malam itu. Jo juga tidak menyangka persembahan pada malam itu lebih hebat dari sesi latihan yang mereka jalani selama beberapa bulan yang lalu.

“Persembahan malam ni lagi best dari apa yang kita praktis, ada extra lagi untuk malam ni, memang puas hati!” Kata Jo di sidang media sejurus tamatnya konsert yang menjadi satu lagi sejarah dalam industri muzik tanah air.

Suasana di ruang konsert Zepp Kuala Lumpur mula dipenuhi pengunjung yang rata-ratanya menunjukkan rasa keterujaannya untuk menyaksikan sebuah persembahan yang julung kali diadakan dalam skala besar.

Lagu Perjuangan dimulakan tepat jam 9 malam dengan kemunculan seorang demi seorang laskar muncul di atas pentas dengan senjata gitarnya membuatkan bulu roma meremang takkala tujuh maestro gitar menunjukkan aksi yang penuh energetik. Dihangatkan lagi dengan penampilan tiga vokalis hebat laksana panglima sedang meniup semboyan bagi memulakan mukadimah perang. Sementelahan di sebalik duri, terselit sekuntum bunga yang menyerikan lagi gelanggang tempur tersebut.

Solo signature keramat Kidd berkumandang setelah Shah Slam memulakan riff terkenal lagu Isabella sementara mata yang menonton tercari-cari empunya solo ‘berhantu’ tersebut. Tepukan gemuruh bergema sebaik sahaja Kidd melangkah ke pentas dengan karisma seorang rockstar mengalun lembut mahakarya yang melekat ke jiwa menjadikan karya masterpiece tersebut diingati sampai bila-bila sesuai dengan gelaran yang diberi kepadanya iaitu ‘King Of Tremolo’.

Tanpa melengahkan masa Kidd Henjut bersama Jo Branko sebelum Muzza menyebarkan Virus dengan dibantu oleh Anis, Shah dan Jo. Kehebatan Muzza tidak boleh dipandang remeh, walaupun dia dan Anis merupakan gitaris paling muda, namun skill permainannya setanding dengan gitaris yang berada di pentas Tujuh Vibrato Gitar tersebut. Sekali lagi penonton dibuai alunan intro Sejati yang sememangnya sebuah karya yang paling dirindui hasil sentuhan emas Jo Branko. Walaupun sekejap, penonton seolah dipukau dengan bunyi intro yang keluar dari ‘Black Beauty’ sebelum Jo membuatkan dewan menjadi gamat dengan munculnya vokalis bernada tinggi, Muss menerusi lagu Badan Belut Kepala Ular.

Segmen akustik di pertengahan perjalanan konsert diibaratkan sebagai ‘jantung’ konsert Tujuh Vibrato Gitar ini. Tiada Lagi Aku, Kenangan Bersamamu, Ranjang Mawar, Dari Kacamata dan Jikalau Berkasih dipersembahkan secara medley dengan lontaran vokal padu Muss, Hattan dan Lan Solo. Jelas terpancar wajah kepuasan penonton yang hadir apabila mereka dapat sing-along bersama seolah-olah melepaskan ‘dendam’ yang sudah lama terpendam.

Pertempuran diteruskan lagi, kali ini menyaksikan gabungan dua gitaris kidal, Jo Branko dan Man Keedal menerusi Kabus Sutera Ungu. Kendatipun setiap lagu yang dipersembahkan berdurasi 6-7 minit, penonton sedikitpun tidak berganjak mahupun merasa bosan kerana setiap gitaris mempamerkan skill dan teknik yang berbeza. Sekali lagi Hattan muncul semula menerusi Biarkan Berlalu sebuah lagu yang didedikasikan kepada Arwah J.S Kevin dengan arrangment yang lebih segar.

Sebagai intiha konsert pada malam itu, Gadis Melayu dan Hati Emas menjadi santapan malam yang terakhir biarpun ruang konsert semakin gempita, meriah dengan sorak sorai peminat seolah tidak mahu konsert ini berakhir. Aksi yang ditonjolkan oleh ketujuh-tujuh hero gitar ini semestinya akan dikenang dan menjadi sebuah sejarah yang belum tentu adanya lagi kesinambungan konsert sedemikian rupa.

“Mungkin tidak, saya nak buat yang lain pula. Tak nak sama kalau boleh. Tapi saya belum fikir lagi biar masa menentukan. Saya suka lain dari yang lain, jadi saya kena fikir dulu apa lagi selepas ini.” Kata Jo Branko yang jelas nampak keletihan tetapi riak wajahnya menunjukkan kepuasan.

Tahniah sekali lagi buat penganjur Big Stage Entertainment Channel dan Anggerik Event Sdn Bhd yang telah merelisasikan idea ‘gila’ ini. Walhasil ramai peminat di luar sana yang sentiasa dahagakan kelainan seperti ini, buktinya Jo Branko telah berjaya membawa pemuzik khususnya pemain gitar ke satu damensi yang baharu. Semoga Tujuh Vibrato Gitar ini akan dikenang dan menjadi penanda aras dalam industri muzik tanah air.