January 13, 2025

DAMANSARA – peneraju GGR Motor, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi telah mengumumkan khabar gembira buat Bella Astillah yang menghadiahkan sebuah skuter elektrik pada penghujung bulan ini selain melantik Bella sebagai duta. Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah itu agak terkejut dengan pengumuman dari Musaddiq yang menghadiahkan skuter itu buat dirinya. 

Menurut Bella, sebelum ini dia memang berhasrat untuk memiliki sebuah motosikal untuk memudahkannya urusan hariannya seperti menghantar anak sulungnya ke sekolah. Namun disebabkan beberapa kekangan yang berlaku dan hasrat itu masih belum kesampaian.

“Alhamdulillah, ini rezeki buat Bella dan memang ada plan nak beli tapi ada sahaja benda yang tertangguh rupanya ada rezeki yang tak disangka datang. Ini juga juga rezeki anak-anak dan lepas ni bolehlah saya kongsi pengalaman hantar Ayden ke sekolah naik motosikal sudah tentu Aden akan happy.” Ujar Bella.

Mengenai kemelut yang berlaku terhadap penyanyi dan pelakon ini, beliau hanya menitipkan pesanan agar semua orang dapat mendoakan dirinya agar baik-baik sahaja dan beliau enggan mengulas sebarang pertanyaan kerana buat masa ini beliau hanya mahu fokus kepada perbicaraan mahkamah yang membabitkan kes cerai dan kariernya sahaja.

Terdahulu, Bella dilihat membuat persembahan di khalayak ramai dan menunjukkan tahap profesional yang tinggi biarpun lagu yang disampaikan itu cukup meruntun hati.

“Sebenarnya orang yang terdekat sahaja yang tahu, Bella sebenarnya hampir-hampir hendak nangis tapi takkanlah kita nak menagis di majlis orang, kita nak meraikan majlis tersebut dan lagu itu pun atas permintaan tuan rumah, Bella akan buat yang terbaik dan kita cuba kekal profesional dalam bekerja.” Katanya.

Bella berkata demikian ketika ditemui majlis hari raya anjuran pengeluar motosikal elektrik, GGR Motor (M) Sdn Bhd di Kampung Sungai Penchala pada 9 Mei lalu. Antara selebriti yang hadir antaranya Achey, Nabil Ahmad, Dato’ Fizz Fairuz, usahawan Dato’ Sri Aliff Syukri dan penampilan istimewa Jorge Lorenzo, bekas Juara Dunia MotoGP 250c musim 2006 dan 2007. 

Dalam perkembangan sama, GGR Motor turut menjalinkan kerjasama dengan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) untuk menjadikan penggiat seni sebagai Duta jualan motosikal EV Bike Elektrik secara lansung kepada peminat-peminat mereka. 

Satu memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai oleh Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Musaddiq (Dekmat) dengan Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid pada majlis tersebut. 

Kerjasama ini membolehkan peminat dan bakal pembeli motosikal ini mempunyai akses lebih mudah mendapatkannya menerusi artis-artis pujaan mereka. 

Mengenai GGR Motor (M) Sdn Bhd 

GGR Motor (M) Sdn Bhd sentiasa menyokong penuh usaha pembangunan industri EV di Malaysia selaras dengan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik yang dilancarkan pada Disember 2023. Gelombang global dalam peralihan kepada Kenderaan Elektrik (EV) bakal menyaksikan pasaran dan industri EV di Malaysia bakal berkembang dengan sangat pesat dalam tempoh kurang dari lima tahun.

Syarikat yang diterajui oleh Pemenang Platinum bagi Anugerah Ikon Usahawan di dalam Bidang Automotif dan Mobiliti, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi dikenali sebagai Dekmat dan Prof Dr Nizar Abdul Jalil ini telah berjaya menjual sebanyak 100 biji motosikal elektrik (EV) dalam tempoh 2 hari. 

Rekod jualan ini membuktikan peningkatan permintaan domestik bagi industri EV ini sangat mengagumkan disamping insentif pengecualian cukai yang diperkenalkan kerajaan yang meliputi cukai import, cukai eksais dan juga jualan penuh bagi EV yang dipasang secara tempatan sehingga 31 Disember 2027.

Syarikat bumiputera yang mempunyai dua cawangan penuh iaitu di Damansara dan Johor Bahru ini akan meneruskan sesi penjualan mereka dengan lebih komited dalam memacu industri ini menerusi kerjasama erat dengan pelbagai industri yang realistik.