Berhibur sambil beramal, Exists sumbang RM20,000

KUALA LUMPUR – Kumpulan kugiran Exists telah mencipta sejarahnya tersendiri apabila julung kalinya berjaya mengadakan konsert bersama pemuzik orkestra yang berlangsung di Mega Stars Arena pada 22 Disember lalu. konsert Exists X Orkestra bukan hanya sekadar konsert, malah Exists bersama penganjur turut menyalurkan sekitar 10 peratus kutipan harga tiket kepada pihak persatuan Karyawan bagi membantu golongan artis yang memerlukan. Mereka berbesar hati menyerahkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez bagi membantu anak seni yang memerlukan.

“Terima kasih diucapkan kepada semua yang sudi hadir meraikan konsert Exists X Orkestra. Kehadiran anda semua amat kami hargai,” ujar Ezad Lazim yang juga merupakan vokalis kumpulan Exists selain Mamat.

Vokalis kumpulan Exists iaitu Ezad Lazim mewakili anggota kumpulannya terdiri daripada Ajai, Ujang, Musa dan Along ketika memberikan ucapan, menzahirkan penghargaan kepada 6,000 penonton yang hadir meraikan konsert tersebut.

Kumpulan yang sudah bertapak selama 32 tahun dalam industri muzik pastinya mengimbau nostalgia kenangan peminat dengan dendangan syahdu, nyanyian merdu yang memukau kalbu di pentas mewah suasana penuh warna gilang-gemilang.

Exists tampil berkolaborasi bersama dengan 30 orang pemuzik Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, membuktikan kematangan setelah bergelumang dalam belantika muzik yang telah mereka raih setelah lebih tiga dekad dalam industri muzik tanahair. Inilah segudang cerita yang mereka coretkan buat peminat yang selama ini menyatakan sokongan buat mereka.

Suasana dewan lantas bertukar riuh rendah dengan sorakkan peminat apabila setiap anggota kumpulan Exists naik kepentas. Jangan Gentar menjadi pembuka tirai konsert dengan penampilan Ezad lengkap sut rona hijau tampak santai bersahaja namun penuh bergaya terus menghiburkan para peminatnya dengan judul – judul lagu popular mereka seperti Seperti Dulu, Masih Terserlah Ayumu dan Hilang Dalam Ramai sebelum Mamat membuat penampilannya dengan lagu Sebelum Terlewat dan Nota Di Lautan Sepi.

Dewan menjadi gamat apabila penonton sing-along dengan untaian lagu hit lain seperti Rahsia Pohon Cemara, Jesnita, Janji Padamu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Langkah Seiringan dan segmen ditutup dengan Alasanmu.

Untukmu Ibu yang dipersembahkan dengan susunan baharu khas buat konsert pada malam itu jelas membuatkan jiwa-jiwa yang hadir pada malam itu terpaku terkesima dibuai asyiknya nyanyian mamat bersama-sama nostalgia yang ada pada lagu tersebut.

Penyanyi yang mempunyai auranya tersendiri, Ezad dan Mamat bergilir-gilir mendendangkan lagu-lagu popular Exists yang kekal segar dan ianya juga dinyanyikan bersama oleh para penonton yang majoritinya bukan sahaja tahu lagu-lagu Exists bahkan menjiwai setiap bait-bait senikata dalam setiap lagu yang didendangkan.

Mamat turut merakamkan ucapan penghargaan buat Ezad kerana telah meneruskan perjuangan kumpulan Exists sewaktu dia mengundurkan diri satu ketika dahulu.

Selain Ezad dan Mamat di posisi vokal, Exists turut dianggotai oleh Ajai selaku pemain keyboard, Musa (bes), Along (gitar) dan Ujang (dram) turut memberi momentum kepada mutu persembahan mereka pada Konsert Exists X Orkestra.

Pentas yang bergemerlapan dengan tatarias pencahayaan hebat juga menjadi suatu elemen yang penting sebagai penambah perisa dalam persembahan kumpulan yang bertaraf legend ini.

Sebanyak 25 buah lagu dalam setlist Exists telah dipersembahkan di konsert yang penuh bersejarah itu. Antara lag-lagu yang mengisi senarai persembahan yang berlangsung lebih 2 jam itu seperti Mama Tolonglah Percaya, Dirantai Digelangi Rindu, Hidupan Fantasi serta lagu saduran Tak Mungkin Berpaling yang dipopularkan oleh Slam dan Rindu Serindu Rindunya nyanyian asal kumpulan Spoon.

Bagi pihak penganjur, Persatuan Global Malaysia, jumlah kehadiran seramai 6,000 orang adalah sesuatu yang di luar jangkaan, memandangkan jangkaan awal hanyalah seramai 3000 penonton. Ini adalah satu kejayaan dalam penganjuran yang julung- julung kali diadakan oleh persatuan ini dan diharapkan kecemerlangan ini dapat diteruskan dalam penganjuran konsert-konsert yang akan datang.

Foto oleh: Ridwan Maestro