KUALA LUMPUR – Penyanyi kumpulan rock popular tahun 80an, Hatta Junction, berusaha sedaya upaya menganjurkan sebuah konsert yang menampilkan 3 buah kumpulan rock ternama terdiri daripada Junction, Meditasi dan Desire bagi memenuhi permintaan peminat yang setelah sekian lama mereka tidak beraksi di mana-mana konsert rock yang menggabungkan ketiga-tiga kumpulan ini.
Menurut Hatta yang juga bertindak selaku penganjur, menjelaskan bahawa konsert rock ini perlu dizahirkan memandangkan hampir 40 tahun lagu-lagu dari kumpulan-kumpulan rock ini masih berkumandang serta diminati termasuk oleh generasi baru.
“Saya nampak ramai penyanyi-penyanyi masa kini cover lagu-lagu dari kumpulan-kumpulan rock 80an 90an sehingga mendapat tumpuan hebat dan ada yang menjadi viral. Jadi, saya mengambil inisiatif bagi memenuhi permintaan peminat-peminat yang masih dahagakan hiburan dan merindui nostalgia muzik Rock 80an ini,” kata Hatta.
Walaupun begitu tidak semua kumpulan-kumpulan rock yang pernah popular satu masa dahulu diberi peluang untuk mengadakan persembahan. Hanya segelintir sahaja yang merupakan nama-nama besar dalam industri muzik berulang kali dijemput untuk mengadakan konsert.
Disebabkan itu, Boss Production Enterprise dan Attah Music mengambil inisiatif menganjurkan konsert Rock Kapak yang akan diadakan pada 7 Oktober ini bertempat di Panggung Asia, Gombak bermula jam 8 malam.
“Boss Production dan Attah Music sedar mungkin pulangan dari segi pendapatan tidak memberansangkan, tetapi yang lebih penting adalah memberi kegembiraan serta kepuasan kepada peminat-peminat serta kumpulan-kumpulan yang terlibat. Kami percaya dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain.” Kata penyanyi yang popular menerusi lagu Akan Ku Kenang.
En. Naz Hamzah selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Boss Production Pte Ltd berpangkalan di Singapura, merupakan syarikat induk kepada Boss Production Enterprise, juga menegaskan tujuan penganjuran Konsert Rock Kapak ini bukan untuk bersaing dengan produksi yang sedia ada. Ianya lebih kepada usaha untuk meluaskan peluang dan mempertingkatkan perniagaan ke aras yang lebih tinggi disamping meneruskan legasi pertandingan nyanyian Who’s The Boss yang sebelum ini diadakan di Singapura. Pertandingan nyanyian yang melibatkan peserta-peserta dari Malaysia, Singapura dan Indonesia ini bakal dianjurkan di Malaysia.
“Sasaran Boss Production untuk tahun 2024 adalah dengan mengadakan sekurang-kurangnya 3 atau 4 acara yang menampilkan artis-artis luar negara dari Singapura, Indonesia, Hong Kong dan lain-lain, namun dalam masa yang sama kami tidak memilih artis mahupun kumpulan muzik berdasarkan populariti. Boss Production tetap fokus untuk memberi peluang kepada semua.” Ujar Naz Hamzah.
Hatta juga menepis rasa skeptikal segelintir pihak yang menganggap konsert seperti ini kurang diminati dan lebih kepada ‘syok sendiri’ namun Hatta menyangkal dakwaan tersebut dan beliau melihat dari perspektif yang lebih positif.
“Jika kita mempunyai pemikiran yang sedemikian, konsert ini tak mungkin dapat direalisasikan, selain menghiburkan peminat konsert ini juga lebih kepada menjalinkan ukhwah persahabatan antara band dan peminat, yang penting kita dah mencuba dan berusaha.
“secara tak langsung saya juga telah membuka jalan dan memecahkan dominasi untuk pasaran supaya ada penganjur atau sahabat-sahabat yang ingin menganjurkan konsert seperti ini, ianya amat baik untuk perkembangan industri hiburan tanah air kita.” Jelas Hatta ketika ditemui di sidang media konsert Rock Kapak di pusat membeli-belah kompleks Campbell, Jumaat lalu.
Cabaran buat Hatta adalah untuk mengumpulkan semula semua anggota ketiga-tiga kumpulan yang terbabit dalam konsert tersebut. Ini kerana kebanyakan mereka tidak tinggal lagi di Lembah Klang malah mereka menetap di kampung halaman masing-masing dan ada juga yang telah berhijrah ke negeri lain jauh dari Kuala Lumpur.
“Walaupun orang nampak saya banyak bergerak secara solo, namun saya tidak akan lupa pada mereka ini terutamanya anggota-anggota kumpulan Junction yang banyak kenangan saya bersama mereka. Saya berusaha sedaya upaya saya untuk tidak menghampakan peminat dengan mengumpulkan mereka semua ini bagi menjayakan konsert yang akan datang nanti,” ujarnya.
Dengan menampilkan kumpulan rock Junction, Desire dan Meditasi pastinya akan menghiburkan peminat-peminat yang menjadi penyokong setia selama mereka dalam industri hiburan. konsert berdurasi 3 jam ini bakal mempersembahkan lagu-lagu hit mereka antaranya Akan Ku Kenang, Monolog Untuk Rina, Bias Cinta, Dian Cinta, Bidadari, Biar Pedih Kasih Memanjang, Hukuman Pada Pesona serta banyak lagi lagu-lagu lain yang akan mengembalikan semula nostalgia ke zaman era kebangkitan muzik Rock Kapak.
Pada malam konsert tersebut terdapat pelbagai hadiah istimewa menanti pembeli tiket yang bertuah. Antara yang menarik adalah 2 pakej percutian di Pulau2 Semporna, Sabah (tajaan AR Travel & Tours), 2 voucher penginapan di AMES Hotel Ayer Keroh, Melaka, 2 unit gitar eletrik Ibanez GRX70QA (tajaan Gama Rock House JDT).
Terdapat juga kasut langka Fung Keong (tajaan Mentari Merah Entertaiment ditandatangi oleh Pengarah Filem Nasir Jani) selain beberapa hadiah untuk penonton yang hadir antaranya gitar akustik, jaket kulit, drum stick, poster, button band Rock Kapak, t’shirt dan banyak lagi untuk Pakaian Rock Terbaik serta cabutan bertuah.
Konsert Rock Kapak ini akan diadakan pada 7 Oktober 2023 bermula jam 8 malam di Panggung Asia Jalan Gombak, Kuala Lumpur. Kumpulan rock Bloodbrothers dan Revenge diberi penghormatan untuk membuka tirai konsert dengan penampilan tersendiri.
Sementara itu, Hatta berharap usahanya untuk mewarnai industri muzik dengan menganjurkan konsert rock seperti ini dapat disokong terutamanya peminat-peminat rock agar ianya menjadi satu khazanah berharga negara untuk masa akan datang.
Untuk pembelian yang berharga RM85.00 tiket sila hubungi 0192333435, 0105667384, 0192407994 dan 0199247924 atau secara dalam talian di https://rockkapak.ubertickets.asia/.