Di kalangan ribuan bakat baharu serantau, sebutir bintang mula menyinar dari kejauhan. Menggunakan gelaran YHB Sleepsalot, anak kelahiran Singapura ini nampaknya bakal menggegar dunia muzik masa kini.
Dilahirkan pada 30 Ogos 2001, YHB mengakui bahawa permulaannya ke dalam dunia seni bertitik-tolak dari obsesinya terhadap bintang remaja popular, Justin Bieber dan lagu hit beliau ‘Baby’ semasa umurnya 12 tahun. Sejak itu dirinya kerap mengimpikan untuk menjadi seorang penghibur.
Ketika membesar, dia didedahkan dengan muzik persembahan ikon-ikon nyanyian tersohor dunia seperti bintang legenda Elvis Presley, Raja Pop Michael Jackson serta nama-nama lain termasuk Drake, Travis Scott dan juga kumpulan One Direction.
Pengaruh muzik aneka warna ini telah menyemarakkan lagi cintanya terhadap dunia muzik.

Lantas sepanjang persekolahan menengahnya, dia mula mencipta lagu di dalam fikirannya dan akhirnya merakam sebuah lagu semasa berumur 17 tahun.
“Mencipta lagu tidak susah buat saya. Ia seperti minda pra-sedar saya yang mengambil alih dan saya hanya perlu menterjemahkan idea tersebut ke dalam lagu. Saya dapat cetusan ilham sedikit demi sedikit dan pada bila-bila waktu di mana sahaja. Jadi saya akan masukkan semua itu ke dalam nota saya dan saat idea tergendala seketika saya hanya perlu merujuk semula catatan saya dan kemudian ia menjadi seperti sebuah pintu penuh ilham,” kata YHB.
Tanpa disangka sedutan rakaman ringkas itu bakal mengubah kehidupannya kala ia mencuri perhatian dua bintang hip hop ternama iaitu ALYPH dan juga SonaOne melalui kuasa media sosial.

Pertemuan itu telah merealisasikan impiannya saat Def Jam Asia Tenggara memberikannya peluang dan menjadikannya salah seorang artis rakaman mereka.
Sejak itu, YHB tidak pernah menoleh ke belakang dan terus bersemangat untuk membuat perubahan dalam dunia muzik pop serta hip hop.
Mampu berbahasa Melayu dan Inggeris dengan lancar telah memberikannya kelebihan dalam menyampaikan muziknya kepada segmen pendengar yang lebih luas. Masa lapangnya yang dihabiskan dengan melukis, menonton siri drama bertema, dan bermain bola sepak juga menyumbang kepada keutuhan aliran seni di dalam dirinya.
Menyimpan hasrat untuk membawa seninya ke luar tanah dari pulau Singapura, YHB Sleepsalot nampaknya mempunyai semua kelengkapan yang diperlukan untuk bertarung di gelanggang seni persembahan.
Dianugerahkan dengan paras rupa yang kacak di samping suara yang merdu berserta bakat mencipta lagu dan lirik dengan baik, dunia pasti akan mengenali kehebatannya tidak lama lagi.
Penyanyi rap YHB Sleepsalot dikenali kerana kelainan suaranya dan konten media sosial yang unik. Didorong oleh minatnya untuk muzik dari usia muda, YHB Sleepsalot mula menulis lagu pada usia 13 tahun dan mula menghasilkan muzik original ketika berusia 16 tahun, menggunakan rentak yang dia temui di YouTube sambil belajar sendiri tentang produksi muzik. Segala penat lelahnya terbayar apabila lagunya “Karabujan” mendapat perhatian ikon Hip Hop di rantau ini, Sonaone dan ALYPH. Kemudian muncul “Terminal” dan “Blow Up”, yang meletakkan artis bebas ini pada ketika itu dalam senarai New Era Spotify: Senarai Lagu Hip Hop Asia.
Rapper muda ini pernah beraksi untuk persembahan pembukaan bagi artis terkemuka rantau ini antaranya MK K-Clique, Kidd Santhe, Tuju K-Clique. Suaranya yang unik ditambah dengan diskografi yang versatile mendatangkan hasil apabila Def Jam South East Asia, Universal Music Singapura menawarkannya kontrak rakaman pada tahun 2020.