March 2, 2024

KUALA LUMPUR – 50 tahun bertahan, pertandingan pencarian bakat vokal serta versatil dalam bidang nyanyian terbaik, Bintang RTM 2024 meneruskan legasi menonjolkan kelebihan 14 peserta terbaik bermula Sabtu ini.

Menariknya, Bintang RTM 2024 mengangkat format pertandingan berbeza berbanding program pertandingan nyanyian lain masa kini. Setiap minggu, peserta diberi kebebasan memilih sendiri genre dan lagu. Ia bagi memperkasa dan menggilap bakat sedia ada agar lebih mantap dan bersinar.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman teruja berkongsi kelainan konsep ini dalam majlis sidang media Bintang RTM 2024 yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, semalam. “Bintang RTM kali ini menjanjikan kelainan yang di mana di sini, kita akan tengok peserta itu kekuatannya di mana, katakan dia mahir dalam Irama Malaysia, jadi kita akan teliti keupayaan dia dan tambah dengan ilmu – ilmu baharu untuk naikkan dia ke tahap yang lebih tinggi”.

Pastinya format kali ini memberi fokus dalam mengenengahkan keperibadian dan keaslian peserta dalam bidang seni suara. Tiada lagi paksaan kepada peserta untuk menyanyikan lagu diluar keselesaan mereka.

Sama ada rentak balada yang penuh perasaan, irama rock yang yang bertenaga atau pop yang mencengkam perasaan, para peserta akan mengasah kemahiran dalam elemen masing-masing setiap minggu.

Awal Ashari dikekalkan sebagai pengacara Bintang RTM 2024 mengambil kira berpengalaman luas lebih 15 tahun dalam bidang pengacaraan khususnya acara hiburan berprestij.

Pada majlis sama turut memperkenalkan barisan 14 bakat muda terbaik yang bakal bertanding terdiri daripada peserta berumur 15 hingga 25 tahun. Mereka ialah Akma Natasha, 25 tahun; Nuhammad Zulfeka (Feka), 23, Mohd Azumi Shazani (Azumi), 26, Norzizi Safira (Zizi), 22, Sharifah Nurilmuhayati (Nuril), 26, dan Muhammad Hadi Hafsham (Hady Huv), 21.

Saingan turut diberikan peserta Muhammad Harris Mukhriz (Harris), 20; Muhammad Shahrezza (Shah Rezza), 22, Roziena Ixzy (Roxy Ixzy), 26, Mohd Enrien Syah (Jon), 24, Dayang Irsyadhania (Dhania), 16, Mohammad Said Suhazrie (Joy), 21, Eylia Eyre Guntabid (Eylia Guntabid), 23, dan Nur Shahirah (Noy), 23.

Konsert pertama akan menemui penonton pada 13 Januari ini, diikuti konsert seterusnya setiap Sabtu, pukul 9.00 malam disiarkan secara langsung melalui TV2. Siaran langsung ini juga boleh diikuti secara dalam talian melalui RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my) dan radio rasmi BRTM 2024 adalah NASIONALfm.

Bintang RTM bukan hanya pertandingan nyanyian tetapi pentas untuk melahirkan lagenda.