KUALA LUMPUR, 6 JULAI 2021 – Penyanyi dan pelakon, Isyariana, 30, mengorak langkah di tahun 2021 dengan kelahiran single solo pertamanya yang berjudul ‘Bisik Hati’ setelah 5 tahun meninggalkan pentas Akademi Fantasia (AF 2016) yang lalu.
Justeru itu, Isyariana atau lebih mesra disapa Isya, mahu menghasilkan lagu yang kena dengan citarasanya sekali gus sebagai hadiah untuk peminat yang sentiasa menyokong perkembangan karier seninya.
‘Bisik Hati’ telah pun dilancarkan pada 6 Jun 2021 lalu di laman YouTube miliknya sendiri, Isyariana TV. Isya mampu menarik nafas lega apabila video lirik rasmi ‘Bisik Hati’ mendapat lebih 10 ribu jumlah tontonan setelah 23 hari dilancarkan.
Video lirik rasmi hasil sentuhan Isya sendiri yang memaparkan visual dedaunan luruh. Menurut Isya, ini adalah simbolik mengenai luluhnya hati seorang insan yang menyedari akan kesilapannya tetapi masih tetap melakukan kesilapan yang sama. Lagu ini adalah tentang bisik hati seorang hamba kepada sang Pencipta Yang Maha Esa.
Menurut kata pemenang Artis Baharu Wanita Popular 2020 ini, “setelah 5 tahun meninggalkan pentas AF 2016, sudah menjadi impian Isya untuk menghasilkan lagu sendiri sebagai penyanyi. Dek kerana kekangan masa dengan kerjaya lakonan, impian Isya bergerak agak perlahan dan dalam masa yang sama, Isya juga amat teliti dalam pemilihan lagu yang ingin dirakamkan mengikut jiwa dan genre yang bersesuaian dengan Isya. Banyak demo yang isya pernah dapat, tapi ‘Bisik Hati’ ini sememangnya menyentuh isya.” Katanya.

Lagu ciptaan Ikhwan Fatanna bersama Wan Salleh serta lirik lagu juga hasil nukilan Ikhwan Fatanna berkisarkan mengenai cinta yang agung.
“Lagu ini sangat dekat dengan isya memandangkan jiwa isya juga lebih kepada genre mellow balada. Bila pertama kali mendengar demo lagu ini, Isya terus bersetuju untuk menjadikan lagu ‘Bisik Hati’ sebagai single pertamanya.” Ujar beliau lagi.
Mengimbas kembali pembikinan lirik video lagu ini, Isya berkata, “Ianya adalah sangat mencabar apabila saya sendiri yang menyunting video lirik tersebut dalam masa 24 jam mengikut kehendak yang diinginkan. Proses pengeluaran lagu juga adalah tidak mudah bagi isya dan pihak pengurusan, kerana banyak yang perlu kami pelajari sebelum ianya dikeluarkan. Alhamdulillah, dengan izin Allah, isya rasa gembira dan berpuas hati apabila ‘Bisik Hati’ diterbitkan oleh syarikat pengurusan Isya sendiri iaitu YSI Entertainment.
‘Bisik Hati’ juga adalah sebuah hadiah istimewa untuk peminat yang sentiasa menyokong Isya selama ini. Isya ingin peminat tahu yang Isya tidaklah meninggalkan bidang nyanyian. Mungkin single ini adalah permulaan untuk Isya kembali aktif di dalam bidang nyanyian dengan sokongan dari keluarga, pihak pengurusan dan sahabat isya.” Ujar pelakon utama dalam ‘Hati Yang Dikhianati’.
‘Bisik Hati’ boleh didapati di semua pelantar digital, Spotify, Joox, Apple Music, iTunes, YouTube Music dan sebagainya bermula 2 Julai 2021. Isyariana merasakan waktu pandemik ini adalah waktu yang sesuai untuk lagu ini dilancarkan berdasarkan lirik lagu dan situasi mencabar yang kita lalui sekarang.