Blood Brothers: Bara Naga Bakal Menembusi Pasaran Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 1 Mei 2025 – Filem aksi tempatan Blood Brothers: Bara Naga bakal melangkah ke pasaran antarabangsa apabila beberapa negara Asia Tenggara menunjukkan minat untuk menayangkan karya arahan Abhilash Chandra dengan kerjasama Syafiq Yusof itu.

Pengarah dan penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam, memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang dalam proses rundingan bersama pengedar filem di Cambodia, Vietnam, Indonesia dan Thailand. Menurut beliau, Thailand telahpun mengesahkan tayangan filem ini dan proses alih bahasa sedang dijalankan. Tayangan dijangka berlangsung dalam tempoh sebulan dari sekarang.

“Indonesia masih dalam peringkat perbincangan kerana mereka mengeluarkan ratusan filem tempatan setiap tahun. Berbeza dengan Malaysia yang membuka ruang kepada pelbagai penerbit, Indonesia lebih mengutamakan produk tempatan. Namun kami tetap berusaha untuk membawa Blood Brothers ke sana, walaupun terpaksa melabur lebih, termasuk dalam kos proses alih suara,” jelas Yusof Haslam.

Beliau turut menambah bahawa kejayaan filem ini menjadi pemangkin untuk membawa karya tempatan ke pentas global, walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Sementara itu, pengarah filem, Syafiq Yusof, meluahkan rasa syukur apabila Blood Brothers: Bara Naga berjaya meraih kutipan sebanyak RM62 juta setakat ini.

“Jika filem ini berjaya mengatasi kutipan Sheriff, saya sudah cukup gembira kerana itu menunjukkan peningkatan. Hasrat utama saya adalah untuk menembusi pasaran luar negara. Walaupun sambutan masih belum diketahui, usaha ini adalah langkah awal untuk memperkenalkan filem tempatan kita, sama seperti yang dilakukan Korea Selatan hingga mampu bersaing dengan filem Hollywood,” ujar Syafiq.

Yusof Haslam turut melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian dua anaknya, Syamsul dan Syafiq, yang kini menjadi antara nama besar dalam industri perfileman tanah air. “Syamsul kini sedang menyiapkan filem Original Gangsters dan apabila filem Syafiq berjaya, dia pula berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang lebih hebat. Ini satu persaingan sihat yang baik untuk industri,” katanya sambil mengumumkan perancangan untuk menghasilkan sekuel, Blood Brothers 2.

Pelakon utama filem ini, Sharnaaz Ahmad, turut menyatakan rasa terharu atas sambutan luar biasa penonton.

“Kami tidak menyangka sambutan sebesar ini. Kami ikhlas mahu menghasilkan filem terbaik untuk Malaysia, dan Alhamdulillah, ini hasilnya. Namun kerja kami belum selesai kerana Blood Brothers 2 sedang dirancang,” katanya.

Antara pelakon lain yang turut hadir dalam acara penghargaan kepada peminat ialah Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Andy Teh, Irfan Zaini, Ray Dap Dap, Zamarul Hisham, Razib Salimin dan Amir Nafis. Turut sama hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof.

Acara bertemakan “BB (Blood Brothers) Tawan BB (Bukit Bintang)” malam tadi menyaksikan ribuan peminat membanjiri lokasi untuk bertemu secara langsung dengan para pelakon. Tepat jam 9.30 malam, para hadirin dikejutkan dengan paparan kutipan filem sebanyak RM62 juta menerusi skrin gergasi di tengah ibu kota.

Acara yang diadakan sempena tayangan hari ke-20 ini dianjurkan oleh Primeworks Studios dan Skop Productions sebagai penghargaan kepada peminat serta usaha promosi filem tersebut di peringkat nasional dan antarabangsa.