KUALA LUMPUR, 12 April 2025 — Filem aksi tempatan Blood Brothers: Bara Naga meletup di pawagam dengan kutipan mengagumkan sebanyak RM9.2 juta hanya dalam dua hari tayangan rasmi dan tayangan awal, bermula 8 April lalu.
Gabungan pengarah terkenal, Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, nyata membuahkan hasil. Dengan tayangan di 170 pawagam seluruh negara, filem ini mencatat jumlah tontonan tinggi khususnya di negeri Selangor, Johor, Kedah, Pahang dan Terengganu.

Filem ini bukan sahaja menarik perhatian kerana aksi mendebarkan dan emosi yang kuat, tetapi juga kerana penerimaannya yang luar biasa oleh penonton dan pengulas filem. Di media sosial, perbualan hangat terus berkisar tentang kualiti produksi dan kekuatan naratifnya.
Antara reaksi yang mencuri perhatian:
- Hadam Project menyifatkan filem ini sebagai “mungkin filem aksi tempatan paling mengagumkan dari segi visual pernah dihasilkan”.
- Suka Filem di Facebook pula menulis: “Bukan sekadar filem, tapi satu ledakan emosi dan aksi yang tak bagi peluang untuk kita bernafas.“
- Abang Riak, pengulas filem, berkata: “Babak pertarungan bertaraf antarabangsa, brutal, kemas, dan penuh impak. Memang lain macam!“
- Pelakon Fikry Ibrahim turut memuji: “Gabungan Syukri, Sharnaaz, Syafiq, dan Kepeng memang cukup rempah. Hasilnya? Memang menjadi!“
Dengan sambutan luar biasa ini, Blood Brothers: Bara Naga dijangka mencipta rekod baharu dalam sejarah perfileman Malaysia. Ia kini ditayangkan di seluruh negara.
Jangan lepaskan peluang — saksikan sendiri filem aksi tempatan yang kini menjadi sebutan ramai.