Blood Brothers meriahkan Ramadan dengan siri jelajah istimewa

KUALA LUMPUR, 24 Mac 2025 – Filem aksi terbaru, Blood Brothers, yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 10 April 2025, terus menghangatkan suasana Ramadan menerusi siri jelajah istimewa di beberapa bazar terpilih. Terbaharu, Absolut Bazaar di Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MITEC) menjadi lokasi ketiga selepas kejayaan siri jelajah di Bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri, Cheras, dan Bazar Ramadan Presint 14, Putrajaya.

Ribuan peminat filem aksi tempatan membanjiri Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2025 (ABXFGR’25) bagi berpeluang bertemu secara langsung dengan barisan pelakon utama seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Zamarul Hisham, Andy Teh, Amir Nadis, Tracie Sinidol, dan Mikael Noah. Suasana menjadi lebih meriah dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk permainan pentas, persembahan khas daripada Muzza, serta tayangan eksklusif sedutan aksi mendebarkan daripada Blood Brothers, yang nyata menambah keterujaan penonton.

“Kami sangat teruja melihat sambutan luar biasa terhadap Blood Brothers. Ini bukan sekadar filem aksi biasa, tetapi sebuah karya yang sarat dengan emosi dan aksi yang bakal membuat penonton terpaku,” ujar Sharnaaz Ahmad ketika ditemui di acara tersebut.

Diterbitkan oleh Skop Productions dengan kerjasama Primeworks Studios sebagai pengedar dan rakan pemasaran, Blood Brothers menjanjikan pengalaman sinematik yang berbeza. Filem ini mengangkat tema kepercayaan, pengorbanan, dan harga sebuah persaudaraan dalam dunia yang penuh tipu daya. Dengan gabungan barisan pelakon mantap dan aksi berkualiti tinggi, Blood Brothers dijangka menjadi antara filem aksi tempatan paling dinantikan tahun ini.

Sementara itu, Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2025 di MITEC mencipta fenomena sebagai festival perayaan terbesar tahun ini, menghimpunkan lebih daripada 700 vendor dengan sasaran 2 juta pengunjung. Mini Absolut FoodFestturut menambah kemeriahan dengan lebih 80 vendor makanan dan minuman bagi keperluan berbuka puasa dan sahur. Festival ini juga dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular seperti Uqasha Senrose, Aprena Manrose, Awal Ashaari, De Fam, Nadeera Zainal, Hael Husaini, Johan Ghazali, Ziana Zain, serta ramai lagi. Acara ini berlangsung selama 66 jam tanpa henti dari 21 hingga 24 Mac 2025.

Siri jelajah Blood Brothers akan diteruskan di beberapa lokasi lain sepanjang Ramadan dengan lebih banyak kejutan buat peminat. Jangan lepaskan peluang untuk menyertai kemeriahan ini dan nantikan tayangan rasmi Blood Brothers di pawagam bermula 10 April 2025!