BANGI – Kumpulan rock popular tanahair, Bloodshed telah mengadakan persembahan khas bagi sempena majlis makan malam bagi meraikan sambutan Hari Malaysia yang bertempat di dewan majlis 57 D’Rinch Hall Bangi di sini malam tadi. Sambutan penuh meriah itu disambut bersama 500 peminat yang ingin menyaksikan persembahan kumpulan yang terkenal menerusi lagu Srikandi Cintaku itu.
Menurut pemain gitar utama Bloodshed, Hamdan Reko, majlis makan malam sempena sambutan Hari Malaysia yang dianjurkan oleh KHS Old Boys ini menjangkakan 200 lebih penonton sahaja yang akan hadir, namun beliau tidak menyangka sambutan hangat yang diterima telah melebihi sasarannya.
“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana majlis kami sangat meriah dan kami juga berterima kasih serta berbesar hati kepada hadirin yang datang bagi menyaksikan persembahan kami. Saya begitu seronok apabila penonton enjoy dengan persembahan kami,” katanya.
Jualan tiket yang memberangsangkan serta habis dijual sebelum hari kejadian membuatkan ramai peminat kecewa apabila tidak dapat bersama menyaksikan persembahan istimewa dari band kesayangan mereka ini. Walaupun penganjur telah menghadkan kehadiran penonton disebabkan jumlah kapisiti dewan yang tidak mampu menampung lebihan pengunjung, namum Hamdan menjelaskan mereka sangat berharap agar Bloodshed dapat mengadakan lagi persembahan sebegini ataupun konsert yang besar demi permintaan peminat-peminat yang membesar dengan lagu-lagu mereka.
“InsyaAllah jika diizinkan, mana tahu kalau ada promoter yang sudi untuk mengadakan konsert Bloodshed di masa akan datang, tetapi saya lebih suka dengan konsep yang sebegini, ada majlis makan malam kerana bagi saya ianya lebih meraikan peminat dan rakan-rakan, namun yang paling utama adalah jalinan ukhwah persahabatan akan bertambah lagi erat,” ujar Hamdan.
Bagi pihak penganjur, Qari Muzaffi Dato’ Rusli, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan ini merupakan penanda aras yang sangat baik untuknya bagi mengadakan lagi majlis seperti ini untuk masa akan datang. Kehadiran bekas pemberita dan pengacara Misteri Nusantara, Hj. Zainal Ariffin Ismail menjadikan majlis makan malam ini lebih meriah.
“Saya sangat berterima kasih kepada Bloodshed kerana sudi mengadakan persembahan di fasiliti kami dan saya akan cuba memastikan majlis seperti ini dijadikan untuk acara tahunan sebab kita ada perancangan untuk memberi peluang kepada artis-artis tempatan bagi mempamerkan persembahan mereka di sini,” kata Qari Muzaffi.
Bloodshed yang memiliki dua vokalis, Hatta dan Sahrul, memberikan aksi yang mengkagumkan dengan mendendangkan 16 buah lagu dari album Bloodshed menerusi lagu-lagu hit mereka antaranya Srikandi Cintaku, Samarkahan, Manusia dan Janji, Ilusi Sebuah Mimpi serta banyak lagi. Turut mereka persembahkan lagu-lagu patriotik menerusi Saya Anak Malaysia, Tanggal 31 Ogos dan Keranamu Malaysia.
“Kita telah membahagikan setiap seorang antara lagu-lagu yang ingin dipersembahkan, seperti saya sendiri lebih banyak membawakan lagu-lagu dari album Villa Misteri yang diterbitkan tahun 1989, manakala Hatta pula lebih banyak membawakan lagu-lagu dari album Illusi Sebuah Mimpi dan Samarkhan,” ujar Sahrul.
Sementara itu, Hatta yang juga merupakan vokalis kumpulan Junction menjelaskan persembahan yang berlangsung pada malam tadi sebagai sesi ‘panas badan’ sebelum beliau bakal mengadakan sebuah konsert bersama kumpulan Meditasi dan Desire pada 7 Oktober ini di Panggung Asia, Gombak.
“Ya, ini sebagai sesi ‘warming up’ untuk konsert saya yang akan datang nanti cuma persembahan bersama Bloodshed ini lain sedikit kerana Bloodshed adalah band senior dan lagu-lagu yang dibawa lebih kepada semangat perjuangan, kehidupan dan ketuhanan, memang bersesuaian dengan majlis pada malam ini, berbeza dengan Junction yang lebih straight forward,” jelas Hatta.
Untuk rekod, kumpulan Bloodshed yang merupakan sebuah kumpulan rock tempatan telah diasaskan pada tahun 1985 dan berasal dari Kajang, Selangor. Kumpulan ini telah menerbitkan 3 album studio serta album bersama Battle Of The band. Mereka juga terkenal dengan pertukaran anggota yang silih berganti dan terkini, anggota Bloodshed terdiri daripada Hamdan Reko (pemain gitar), Hamdan Triumph (Drummer), Zana (keybordist), Said (bassist), Hatta dan Sahrul (vokalis).