April 17, 2024

KUALA LUMPUR – Memasuki tahun keempat menemani penonton menjelang waktu berbuka puasa, tahun ini RTM terus menyiarkan program temu bual santai, “Borak Dulu Baru Buka #barakahnyadisini” sepanjang Ramadan, pukul 6.45 petang di TV1. 

Program diterbitkan oleh Unit Hiburan TV RTM ini mengekalkan gandingan pengacara Khir Rahman, Amin Idris dan Wany Hasrita yang sememangnya keserasian mereka dinantikan penonton setia program ini.

Merangkumi semua aspek pengisian ilmu agama, drama, nyanyian, hiburan, lawak spontan dan lain-lain, 31 episod program ini sesuai ditonton ketika berkumpul seisi keluarga menjelang waktu berbuka puasa. Apatahlagi perkongsian ilmu yang bermanfaat disampikan secara santai.  

Namun tahun ini ianya menjanjikan kelainan dengan topik khas ‘Ibrah Dari Gaza’, melihat perspektif bagaimana orang Malaysia dapat membantu berkempen perjuangan rakyat Palestin di Gaza. Ada juga perkongsian tentang ilmu kesihatan, kekeluargaan, motivasi dan pelbagai lagi.

Program yang mendapat respon baik tanpa mengira agama, kaum dan budaya ini membawa pendekatan fiqh yang lebih meluas dan mempermudahkan penyampaian ilmu contohnya berkaitan hukum bersahur, berbuka puasa dan pelbagai lagi. 

Menariknya selain berhibur, penonton berpeluang untuk memenangi hadiah ditawarkan kepada penonton bertuah yang turut serta dalam program ini secara interaktif. Caranya dengan mengikuti https://www.instagram.com/hiburantvrtm/.

Nantikan siaran program ini di TV1. Bukan itu sahaja, RTM turut memberikan peluang kepada anda yang tidak berkesempatan menyaksikan menerusi saluran TV untuk mengikuti penstriman langsung secara percuma menerusi RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).