KUALA LUMPUR, 27 Mei 2025 — Legenda R&B dari Philadelphia, Boyz II Men, akhirnya menunaikan janji mereka kepada para peminat Malaysia apabila tampil mengadakan konsert penuh emosional di Megastar Arena, Sungei Wang Plaza pada 25 Mei lalu. Konsert bertemakan “Boyz II Men Live In Kuala Lumpur”, anjuran Shiraz Projects, bukan sahaja menggamit nostalgia malah menghadirkan malam paling romantis buat ribuan peminat pelbagai generasi yang hadir.
Ini merupakan kemunculan semula mereka selepas enam tahun, dengan kali terakhir kumpulan ini beraksi di Malaysia adalah pada tahun 2019. Walaupun tanpa kehadiran Michael McCary yang mengundurkan diri pada tahun 2003 kerana masalah kesihatan, trio Nathan Morris, Wanya Morris dan Shawn Stockman tetap teguh meneruskan legasi seni mereka.
Konsert dibuka dengan dua lagu bertenaga — “Can’t Let Her Go” dan “Don’t Stop ’Til You Get Enough” — yang disampaikan dengan susunan muzik penuh. Suasana berubah drastik apabila lagu klasik “Water Runs Dry” bergema, mencetuskan jeritan dan nyanyian bersama daripada para penonton yang terdiri daripada generasi X hinggalah Gen Z.
Lagu-lagu ikonik daripada album II seperti “I’ll Make Love To You” dan “On Bended Knee” mengundang sorakan gemuruh, dengan harmoni vokal mantap diserikan koreografi ringan. Kali ini, Boyz II Men memilih persembahan dengan iringan penuh berbanding gaya akapela yang pernah menjadi identiti mereka.
Shawn dan Wanya aktif berinteraksi dengan penonton, mewujudkan suasana mesra, manakala Nathan tampil lebih tenang namun tetap memukau melalui persembahan vokal dan permainan bass.
Antara lagu-lagu yang turut menggamit emosi malam itu termasuk “Hey Lover”, “Please Don’t Go”, “Uhh Ahh”, dan “Four Seasons of Loneliness”. Kumpulan ini juga menyampaikan medley lagu-lagu popular seperti “A Change Is Gonna Come” (Sam Cooke), “Are You Gonna Go My Way” dan “American Woman” (Lenny Kravitz), “Come Together” (The Beatles), serta “Purple Rain” (Prince). Namun, lagu “Locked Out of Heaven” (Bruno Mars) mendapat sambutan paling hangat.
Segmen tribute turut dipersembahkan sebagai penghormatan kepada idola mereka yang telah tiada seperti Michael Jackson, Prince dan Whitney Houston. Penonton turut disajikan rakaman lama yang memaparkan Michael McCary bersama kumpulan itu menyanyikan “One Sweet Day” bersama Mariah Carey, membawa seluruh dewan larut dalam kenangan dan emosi.
Puncak malam tiba dengan lagu “I’ll Make Love to You” yang dinyanyikan bersama oleh para penonton, sebelum ditutup dengan “End of the Road” dan “Motownphilly”, menjadikan malam itu satu pengalaman penuh rasa dan makna.
Lebih tiga dekad dalam industri muzik, Boyz II Men membuktikan mereka masih relevan dan menyentuh jiwa pendengar. Lagu-lagu mereka kekal sebagai jalur kenangan yang tidak lapuk dek zaman, terus menjadi iringan bagi kisah cinta dan kehidupan pelbagai generasi.
Kredit foto: Sudasan