MIRI – Bertemakan “Nang Champiyen, Nang Legend”, bandaraya Miri menjadi saksi malam penuh gemerlapan apabila Konsert MeleTOP TVS berjaya menggegarkan Stadium Tertutup Miri dengan kehadiran ribuan peminat serta barisan bintang popular tanah air.
Antara yang mencuri perhatian termasuklah penyanyi tersohor Dayang Nurfaizah, Stacy, Mimifly, kumpulan Dolla dan ramai lagi. Konsert mega ini menjadi lebih istimewa apabila buat julung kalinya, acara hiburan berskala besar anjuran gabungan gergasi hiburan negara – Astro dan TVS – dibawakan keluar dari Lembah Klang, menjadikan Miri sebagai destinasi sulung. Konsert selama dua jam yang disiarkan secara langsung menerusi TVS (Saluran 122 di Astro, MYTV, Unifi TV), Astro Ria, Astro GO dan Sooka ini turut diserikan dengan kehadiran Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang.
Acara dimulakan dengan persembahan budaya dan muzik oleh Sada Borneo dan Dion Das, sebelum pentas dihangatkan oleh dua penyanyi bertenaga, Mimifly dan Stacy, menerusi lagu-lagu seperti “Abracadabra”, “Menyala” dan “Angkat”. Wani Kayrie turut mencuri tumpuan dengan persembahan bertenaga bersama Noki menerusi lagu “Original Sabahan” dan “Not Like Us”, membangkitkan semangat anak Borneo dalam kalangan penonton.
Kemuncak acara menyaksikan penyanyi kesayangan Sarawak, Dayang Nurfaizah, dianugerahkan “Anugerah Khas Borneo MeleTOP” oleh Pengerusi TVS, Dato’ Norhyati Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, En. Mohamad Sardon Zainal. Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan atas jasanya mengharumkan nama negeri dan Borneo di persada muzik nasional. Dayang kemudian mempersembahkan lagu “Seandainya Masih Ada Cinta” secara solo sebelum berduet bersama Hael Husaini menerusi lagu “Haram” yang menggetarkan jiwa dan memukau seluruh dewan.
Penampilan istimewa turut diteruskan oleh Hairee Francis, Marsha Milan dan Nadeera, bintang bersuara emas yang kian menyerlah selepas kejayaan cemerlang di AJL39. Konsert ditutup dengan penuh gaya oleh kumpulan Dolla, yang berjaya mengajak penonton bangkit menari dengan persembahan bertenaga dan glamor.
Gandingan hos MeleTOP seperti Nabil Ahmad, Hawa Rizwana dan Sherry Alhadad bersama hos TVS – Cheryl Toh, Fattah Bolh dan Ghaz Zawawi – memastikan acara kekal meriah dari awal hingga akhir.
Bagi meneruskan momentum, TVS akan menganjurkan Konsert Berkat Gawai-Kaamatan bersempena sambutan dua perayaan utama komuniti Borneo. Konsert ini bakal berlangsung pada 21 Mei 2025, jam 7.30 malam di Stadium Tertutup Miri. Acara ini akan menampilkan ratu rock negara, Ella sebagai artis utama, disertai Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX serta Marina Jara dari Kalimantan.
Tiket percuma untuk konsert tersebut telah habis ditempah dalam masa singkat. Namun, peminat masih berpeluang mendapatkan tiket melalui laman web rasmi TVS (tvsarawak.my) atau terus di pintu masuk konsert selagi stok masih ada. Orang ramai, khususnya warga Miri dan kawasan sekitar, dijemput hadir beramai-ramai untuk menyaksikan malam penuh warna-warni budaya dan muzik ini.
Menurut En. Mohamad Sardon Zainal, “Miri adalah pintu masuk ke utara Sarawak dan sangat dekat dengan Brunei, Sabah dan Kalimantan. Ulang tahun ke-20 Miri sebagai bandaraya adalah masa terbaik untuk meraikan rakyat dan budaya kita dalam skala besar.”
Gabungan artis ternama dan bakat tempatan membuktikan bahawa konsert seperti ini bukan sahaja menghiburkan, malah membina jambatan budaya serta membuka ruang kepada ramai untuk menikmati pengalaman hiburan bertaraf antarabangsa. Akses percuma turut memberi peluang kepada pelancong dari negara jiran untuk merasai keunikan hiburan dan budaya Borneo dalam suasana yang luar biasa.