Kali terakhir menghiburkan peminat di Malaysia pada tahun 2017 dan kini kembali semula pada 2023. 6 tahun setelah kali terakhir mereka ke sini, perasaan saya masih tetap teruja. Mengimbau kembali kemantapan setiap anggota memanipulasi instrumen mereka (kecuali James La Brie) satu perasaan yang sukar diungkap dengan kata-kata. Puas, takjub, tumpu perhatian, inilah yang bakal dinikmati bila menonton konsert Dream Theater (DT).
Meletakkan Dream Theater di Zepp Kuala Lumpur pada hemat saya semacam satu downgrade bagi sebuah kugiran hebat seperti ini. Tetapi, melihatkan pula trek rekod Zepp yang begitu berjaya menganjurkan pelbagai show artis luar dan dalam negara dengan sistem bunyi dan paparan visual yang bagus sebelum ini, saya fikir, ah! lantaklah. Janji sound yang keluar padu dan sedap didengar.
Permulaan lagu dipetik dari album terbaharu mereka, A View from the Top of the World iaitu ‘The Alien’ menjadi sapaan keras DT yang menjemput penonton untuk tidak membuang masa terus headbangingseawal konsert ini bermula.
Secara jujur, bagi saya para peminat DT sebenarnya bukan boleh pun nak headbanging sepanjang lagu-lagu yang mereka mainkan. Ini kerana, kebanyakan peminat yang hadir mahu menonton dengan dua biji mata mereka satu persatu nota-nota muzik yang dimainkan anggota DT betapa ketepatan dan kelajuan menjadi imbang tara selain cuba mencari-cari di mana mereka akan tersilap atau terkucil note. Bagi saya sebagai penonton dan peminat marhaen DT, kalau mereka silap petikan note sekalipun, apa ada hal. Maafkan saja. Haha! yang pasti, crowd terpaku dan terpana melopong setiap permainan mereka terutama Petrucci (yang sudah tentu mendominasi keseluruhan tumpuan) selain John Myung, Jordan Rudess dan Mike Mangini.
Selain ‘The Alien’ yang menjadi trek pilihan saya dalam album terbaru mereka, ‘Sleeping Giant’ juga antara trek lagu yang sedap dalam album A View from the Top of the World. Saya semacam ada perasaan yang album terbaru mereka ini kuat formula A Dramatic Turn Of Events (album selepas era Mike Portnoy) yang punya hook pada lenggok vokal La Brie ditengah bridge lagu kedengaran mengada-ngada itu. Bila dibawakan secara live, lagu ini menjadi lebih enjoy didengar dari format CD atau di platform strim umpama Spotify atau Youtube Music.
Pemilihan Mike Mangini tak pernah silap (saya akhirnya mengaku tentang ini) dan terbukti bakti beliau harum sepanjang tempoh setakat bersama DT ini. Walaupun muzik mereka dah sampai tahap infiniti bagi pendapat saya, tapi mereka masih berbisa dan tetap mantap.
Mengimbau ulasan saya pada konsert selebrasi mereka ‘25 Years Images, Words & Beyond’ pada tahun 2017 di Kuala Lumpur Convention Centre dulu, sejujurnya saya masih mengharap mereka membawakan lagu-lagu seperti ‘Spirit Carries On’, ‘Stream Of Consciousness’ atau ‘Ministry Of Lost Souls’ tetapi sehingga akhir konsert, ternyata hampeh dan hampa. Hahaha!
Pun begitu mereka membawakan lagu ‘Bridges In The Sky’ dari album ‘A Dramatic Turn Of Events’ dalam live di Kuala Lumpur kali ini benar-benar diluar jangkaan saya. Album “Dramatic” ini mungkin album terakhir dari mereka yang saya betul-betul memberi fokus sebelum album-album seterusnya saya seperti ke laut dalam sahaja mendengarnya, hilang tumpuan, atau mungkin dah terlalu biasa sangat dengan elemen lagu-lagu mereka seperti mana para peminat mereka sedia maklum. Tepu. Konotasi tepu tidak membawa maksud ia tidak sedap dan hambar dalam konteks Dream Theater. Kena fahami dengan betul dan adil.
Usia anggota yang rata-ratanya melebihi 50 tahun tetapi tetap memberi persembahan yang bertenaga dan mantap seperti James La Brie yang baharu sahaja mececah usia 60 tahun 5 Mei yang lalu, pada tahap usia sebegini bagi seorang vokalis, ianya perlukan teknik dan taktik yang betul dan khusus untuk mereka survive dalam durasi konsert lebih dua jam. Walau adalah sedikit kucil sana sini, tapi bagi kami pro DT, ia tetap dimaafkan. DT kot. Bukan lantai lapan lapan!
Sepanjang durasi konsert, James sentiasa berinteraksi baik bersama penonton tanpa perlu di provoke dan disuruh, mereka mampu sing a long bersama dan sporting dengan James yang kerap juga berulang meneguk air. Mungkin tekak beliau cepat kering disebabkan cuaca yang terlebih panas mutakhir ini yang melanda Malaysia. Merungut dia kepada penonton dengan cuaca yang dia rasai sepanjang beberapa hari keberadaannya disini.
Adalah sesuatu yang begitu istimewa bila lagu-lagu yang kita suka bisa membawa kita terbang pada tahun-tahun dahulu yang tertentu. Inilah yang saya nikmati dalam encore terbaik bagi saya yang dipilh Dream Theater iaitu lagu epik ‘The Count of Tuscany’. Mengulangi encore terbaik pada persembahan mereka ketika 2017 di sini dahulu iaitu lagu ‘A Change Of Season’.
Tiada apa yang lebih indah dari menikmati momen-momen konsert ini bahkan tiada kata yang dapat menggambarkannya. Nak komen negatif pun, terlalu sikit sangat. Salah silap terkucil tu semua semacam tiada menjadi kudis pun dalam persembahan mereka pada malam itu. Kesemuanya perfect dan hampir tiada cacat cela. Itulah realitinya bila kita menonton konsert Dream Theater secara bersemuka. Cuma saya masih mengharap, satu masa nanti mereka akan kembali bersama Mike Portnoy paling tidak pun, sebagai penampilan istimewa dalam mana-mana konsert selebrasi ulangtahun album mereka yang monumental. Never say never. Dream Theater selamanya!
Senarai lagu konsert :
- Alien
- 6.00
- Sleeping Giant
- Bridges In The Sky
- Caught In A Web
- Answering The Call
- Solitary Shell
- About To Crash
- Losing Time/Grand Finale
- Pull Me Under
- A View From The Top Of The World
- Count Of Tuscany
Rating : 9/10
Ulasan : Lord Fuhrer | Foto : Subky Hj. Bebit